UKM Memenangi Anugerah Tenaga ASEAN Kali Keempat
Oleh Rejal Arbee
Foto Ihsan Prof Kamaruzzaman Sopian
BANGI, 1 Okt 2013 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menempa nama sekali lagi apabila memenangi Anugerah Tenaga ASEAN bagi kali keempat sejak ia dimulakan pada 2001 dahulu.
Anugerah itu dikendalikan Pusat Tenaga ASEAN (ACE) di bawah projek tenaga boleh diperbaharui untuk projek Sistem Pemanasan Air Menggunakan Tenaga Suria yang telah dibangunkan di Pusat Perubatan UKM (PPUKM).
Anugerah itu telah disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Tenaga, Jabatan Tenaga Amerika Syarikat, Daniel B Poneman di Persidangan Menteri-menteri Tenaga ASEAN ke 31 di Bali pada 25 Sep lalu. AS adalah rakan dialog ASEAN.
Pengarah Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI) UKM, Prof Dato’ Dr Kamaruzzaman Sopian dan Prof Dr Syed Zulkifli Syed Zakaria dari PPUKM telah menerima anugerah itu bagi pihak UKM. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Zamatel Sdn Bhd Khalid Mokhtar, rakan kongsi UKM mengenai sistem pemanasan air menggunakan tenaga suria itu.
Prof Kamaruzzaman dalam suatu kenyataannya kepada Portal Berita UKM malam tadi berkata UKM adalah universiti yang pertama pernah memenangi Anugerah itu selama empat kali sejak ia dimulakan pada 2001.
Anugerah itu adalah untuk mengiktiraf usaha terbaik dalam penggunaan tenaga diperbaharui seperti tenaga hidro, angin, bahan buangan, tenaga panas bumi dan suria serta usaha terbaik untuk menyediakan tenaga efisien di rantau ini.
UKM telah memenangi Anugerah itu buat pertama kalinya untuk sistem menyimpan tenaga bagi sistem hawa dingin UKM. Kali kedua ia memenanginya untuk Rumah Eko Hidrojen Surianya dan kali ketiga untuk sistem tenaga bahan bakar mudah alih.
Sistem pemanasan air menggunakan tenaga suria yang terbesar dalam negara itu telah dipasang di PPUKM oleh SERI dan Zamatel dengan biayaan RM2juta di bawah skim Dana Tekno Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
Sistem itu mempunyai jangka hayat selama 15 tahun dengan jangka pengembalian modal hanya selama 2.9 tahun sahaja.
Prof Kamaruzzaman berkata satu pasukan dari SERI, PPUKM dan Zamatel telah mereka dan memasang sistem itu. Rekaan itu kini telah pun didaftar untuk hakcipta dengan nama i-PANAZ ©.
Pemindahan kepada sistem tenaga suria itu untuk semua 200 buah hospital dan hotel besar dalam negara akan dapat menjimatkan pengeluaran gas hijau sehingga 42 juta kg Karbon Dioksida dan 33,000 kg nitrogen oksid, kata Prof Kamaruzzaman.
Pengurangan ketara gas hijau demikian akan menolong Malaysia mencapai hasratnya untuk mengurangkan sehingga 40% daripada pengeluaran karbonnya menjelang tahun 2020.
Syed Zulkifli pula berkata sistem pemanasan air dikebanyakan hospital besar beroprasi 24 jam sehari menggunakan LPG sebagai bahan bakar untuk tangki air mereka. Ini menyebabkan 30% daripada penggunaan tenaga di hospital adalah dari sistem pemanasan air di tangki mereka.
Sistem yang diguna pakai itu boleh diubahsuai untuk sistem pemanasan menggunakan tenaga suria dengan mudah dan akan menjimatkan penggunaan tenaga, katanya.
Khalid pula berkata penggunaan sistem tenaga suria itu untuk lebih dari 400 buah hospital dan hotel besar di seluruh ASEAN akan memberi faedah besar kepada rantau ini dari segi penjimatan penggunaan tenaga. Ia juga mempunyai potensi besar untuk di pasarkan ke ASEAN dengan pasaran bernilai lebih dari RM360 juta dengan penjimatan sejumlah RM196 juta.
Prof Kamaruzzaman berkata sistem i-PANAZ © boleh digunakan dalam pelbagai industri buatan termasuk kilang kain baju, kilang memproses makanan, industri tenusu dan sistem pemanasan kolam renang.