Tidak Memadai Jika Memenangi Pingat Tanpa Menghasilkan Produk
Oleh Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 9 Apr 2014 – Memenangi banyak pingat berprestij di seluruh dunia oleh universiti tempatan tidak harus dijadikan tanda ukur kejayaan inovasi dan penyelidikan.
Kejayaan sepatutnya diukur juga dari segi penglibatan dalam industri dan seluas mana produk hasil penyelidikan digunakan oleh pihak industri, demikian kata Penasihat Sains kepada Perdana Menteri Prof Emeritus Dato Sri Zakri Abdul Hamid di sini hari ini.
Beliau berkata berjuta ringgit telah dibelanjakan untuk penyelidikan di universiti tetapi masih sukar untuk menamakan satu pun produk hasil penyelidikan yang terkenal. Sehingga kini hanya 5% daripada produk R&D telah dikomersialkan.
Beliau telah menyampaikan ucap dasarnya di Kolokium Siswazah Fakulti Sains dan Teknologi UKM yang ke 14. Kolokium itu memberi peluang kepada pelajar siswazah membentang hasil penyelidikan dan penemuan yang mereka perolehi.
Kolokium dua hari itu menyaksikan lebih 70 kertas kerja dibentangkan dalam pelbagai bidang dari Sains Makanan hingga ke Sains Nuklear.
Prof Zakri menyarankan universiti mengkaji semula hubungan mereka dengan industri. Ini dapat dilakukan dengan adanya interaksi seawal mungkin.
Universiti perlu memahami keperluan industri dan mengetahui masalah yang dihadapi oleh pihak industri dan kemudian menyediakan penyelesaian.
Prof Zakri berkata kejayaan sains dan teknologi tidak diukur dari segi usaha ahli sains dan penemuan sahaja. Sebaliknya sains dan teknologi diukur dari segi peluang pekerjaan yang dapat diwujudkan oleh sesuatu penemuan serta peningkatan kesejahteraan masyarakat yang mampu di bawa oleh sains dan teknologi.
Beliau berkata syarikat-syarikat GLC dan Syarikat Industri Kecil dan Sederhana perlu menceburi bidang pertumbuhan yang berpotensi di mana pulangan ke atas pelaburan adalah berlipat kali ganda.
Sektor swasta pula perlu menumpukan perhatian kepada Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dan tidak kepada untung rugi sahaja.
Prof Zakri menceritakan ungkapan yang dinyatakan kepadanya oleh rakan-rakannya dari luar negara sebagaimana dinyatakan seorang rakannya dari Korea yang berkata: “kita membeli minyak dan gas daripada negara anda pada harga yang murah dan kemudian menjualnya semula kepada anda pada harga yang lebih tinggi.”
Kita akan terus menghadapi keadaan begini jika kita tidak membuat inovasi dan menambah nilai kepada hasil negara dengan menggunakan teknologi yang sudah pun sedia ada, tambah beliau.
Permikiran yang hanya berminat kepada untung dan rugi sahaja akan mengekalkan kita sebagai negara membangun buat selamanya.
Sikap demikian akan menjadi batu penghalang untuk negara mencapai status negara maju. Sektor swasta perlu melabur dalam R&D secara berterusan, kerana ia akan menghasilkan keuntungan berganda, kata Prof Zakri.
Beliau berkata Malaysia ketinggalan dalam bidang sains dan teknologi kerana kurangnya kesefahaman antara universiti dan industri.
Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, Dekan Fakulti Sains dan Teknologi, Prof Dr Sharim Hj Ahmad serta pensyarah dan pelajar.