Usaha Berkongi Maklumat Dan Data Dengan Jabatan Perangkaan Malaysia
Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 22 Apr 2014 – Hasil penyelidikan serta perangkaan dan data yang diperolehi penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan di kumpul dan diolah oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (JPM) bagi membantu jabatan dan agensi kerajaan membuat keputusan yang betul dan tepat.
Satu Memorandum Kefahaman telah dimeterai antara UKM dan JPM di sini baru-baru ini yang juga membolehkan penyelidik UKM menggunakan segala data dan perangkaan yang terdapat di jabatan itu.
Upacara menanda tanganinya melihat tiga orang alumni UKM kembali ke kampus UKM di sini. Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali ketika mengalu-alukan mereka berbangga bahawa ketiga pegawai tertinggi JPM adalah lulusan UKM.
Mereka terdiri dari Ketua Perangkaan Datuk Dr Hj Abdul Rahman bin Hasan, Timbalan Ketua Perangkaan (Sosial/ Demografi) Hj Ismail bin Yusoff dan Timbalan Ketua Perangkaan (Ekonomi) Puan Omi Kelsom binti Elias.
Kedatangan ketiga mereka itu “membuatkan saya berasa sangat bangga kerana tiga daripada pengurusan teratas JPM adalah bekas pelajar UKM,” kata Prof Noor Azlan dengan harapan mereka akan kenangkan kembali masa mereka di kampus dahulu.
Beliau berkata ia membuktikan apa yang beliau pernah ungkapkan selama ini bahawa UKM adalah “penjaga negara” kerana ia membantu membentuk dan mendidik pelajar yang akan menjadi pemimpin dan anggota penting masyarakat.
Prof Noor Azlan berkata statistik adalah bahasa sains yang boleh membantu usaha menyampaikan maklumat, idea dan hasil penyelidikan. Dengan menganalisis perangkaan jabatan kerajaan boleh membuat kesimpulan yang dapat memanfaatkan masyarakat serta pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhannya.
Statistik, katanya, adalah satu cabang ilmu yang memainkan peranan penting dalam banyak aspek, terutamanya dalam menyampaikan maklumat. Tanggapan demikian adalah lebih jelas pada abad ke-21 ini dengan suasana “kebanjiran maklumat” sekarang ini.
“Dahulu maklumat adalah terhad tetapi kini ia berlebihan. Ini memerlukan penerimaan yang selektif terhadap perangkaan sahih sahaja dengan yang lain dibuang,” katanya.
Datuk Dr Abdul Rahman berkata MoU itu adalah suatu usaha yang boleh membantu negara kerana pertukaran maklumat dan data demikian boleh mencetus banyak idea, kesimpulan dan penemuan baru yang akan memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia.
Bagi pelajar UKM, Dr Abdul Rahman berkata perkongsian itu akan mengajar mereka proses mengumpul mikro-data dan cara menganalisisnya bagi membantu mereka memahami pertumbuhan sihat ekonomi Malaysia.
Ini boleh menghindarkan mereka dimanipulasi oleh puak tertentu kononnya ekonomi Malaysia kini sedang menurun.
MoU itu ditanda tangani oleh Prof Noor Azlan dan Dekan FST Prof Dr Sahrin Ahmad serta Dr Abdul Rahman dan Hj Ismail mewakili JPM.