Akta Kerja Perlu Dipinda Untuk Meliputi Pekerja Asing: Gesa MPN
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi
KUALA LUMPUR, 16 Disember 2014 – Majlis Profesor Negara (MPN) mencadangkan Akta Kerja (Pindaan) 2012 dipinda untuk melindungi hak pekerja asing, kerana mereka adalah penyumbang penting kepada ekonomi negara.
Timbalan Ketua Setiausaha majlis itu, Prof Dr Kamaruddin M. Said, berkata Malaysia akan terus bergantung kepada pekerja asing – terutamanya dalam sektor yang memerlukan tenaga kerja yang ramai – pada jangka panjang dan sudah sampai masanya mereka diberi layanan yang adil.
Bercakap selepas sidang MPN membincangkan Dilema Negara: Isu dan Cabaran Pekerja Asing di Malaysia, di sini hari ini, Prof Kamaruddin mencadangkan Malaysia mengadakan rundingan langsung kerajaan dengan kerajaan semua negara yang membekalkan pekerja kepada Malaysia untuk melindungi rakyat mereka dari dieksploitasi.
“Kami anggarkan kini terdapat enam juta pekerja asing. Itu bukan satu jumlah yang kecil. Kita harus memberikan mereka perlindungan melalui Akta Kerja,” kata Prof Kamaruddin, mantan Pengarah Penerbit UKM.
Perangkaan polis yang dibentangkan di persidangan itu menunjukkan terdapat kira-kira 2.9 juta pekerja asing yang sah berdaftar di Malaysia.
Prof Kamaruddin berkata kerajaan perlu sedar bahawa Malaysia akan terus bergantung kepada pekerja asing untuk memastikan industrinya berjalan kerana negara tidak mempunyai pekerja yang cukup untuk mengisi berjuta-juta pekerjaan yang ada.
Beliau berkata daripada 30 juta rakyat di negara ini, tujuh juta masih di sekolah dan terdapat kira-kira 13 juta peluang pekerjaan baru dalam pelbagai sektor dari pertanian hingga pengilangan.
“Ini bermakna kita mesti memastikan pekerja asing dilayan dengan baik … kami mencadangkan istilah pekerja asing ditukar kepada pekerja tetamu, kerana pekerja asing yang sah membawa kesan yang sangat positif kepada negara kita,” katanya.
Beliau berkata Putrajaya juga perlu merombak sistem sedia ada yang terlalu bergantung kepada agensi pekerjaan untuk membawa masuk pekerja asing. Agensi-agensi itu mengenakan bayaran tinggi yang menyebabkan pekerja asing dibebani banyak hutang walaupun belum mula bekerja lagi.