Malaysia Tidak Harus Kehilangan Kanak-kanak Berbakatnya Kepada Negara Lain
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Abd Ra’ai Osman
BANGI, 8 Disember 2014 – Malaysia perlu memastikan bahawa ia tidak kehilangan anak-anak mudanya yang berbakat kerana tertarik dengan kemudahan yang disediakan oleh negara lain yang boleh memenuhi keperluan mereka.
Isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor berkata ibu bapa kanak-kanak demikian harus yakin bahawa negara ini mempunyai kemudahan untuk memupuk bakat anak-anak itu.
Memberi ucaptama dan merasmikan Persidangan Antarabangsa Mengenai Pendidikan Pintar dan Berbakat (ic-GATE) 2014 di sini hari ini, penaung program Permata berkata ramai pelajar berbakat memilih didikan di rumah apabila ibu bapa mereka berpendapat sistem pendidikan sekarang tidak cukup mencabar bagi anak mereka.
“Saya tahu ibu bapa yang telah berpindah ke negara lain kerana kekurangan kemudahan di negara ini. Ini adalah suatu pembaziran bakat dan kehilangan peluang jika kita tidak melakukan sesuatu untuk memupuk bakat demikian”.
Beliau berkata kini terdapat sehingga 11000 individu yang berbakat demikian dalam negara dan kita tidak harus kehilangan mereka itu.
Datin Paduka Seri Rosmah berkata kajian menunjukkan dari setiap 1,000 pelajar akan wujud seorang pelajar yang sangat berbakat. Sesetengah kanak-kanak itu memiliki kemahiran dan kebolehan dalam satu atau lebih bidang.
Ada yang berbakat dalam menghafal al-Quran pada usia yang sangat muda dan ada yang mampu menyelesaikan masalah matematik walaupun berumur muda. Terdapat mereka yang pintar dalam bidang akademik dan ada pula yang berbakat main alat muzik.
Beliau telah berjaya meyakinkan suaminya, Perdana Menteri bahawa negara ini perlu melakukan yang terbaik untuk menyediakan pendidikan awal kanak-kanak dan juga mencungkil dan memupuk bakat di kalangan golongan muda.
Datin Paduka Seri Rosmah berbangga dengan kemampuan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi tunjang program PERMATApintar manakala program Permata Insan disokong oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). PERMATApintar di UKM adalah sebuah akademi untuk kanak-kanak yang pintar dalam pelajaran akademik dan muzik.
Program PERMATA bermula dengan program pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak (ECEC) Permata Negara untuk kanak-kanak berumur 5 dan ke bawah dari kawasan desa dan juga keluarga di bandar yang kurang bernasib baik.
Bagi melengkapkan program ECEC, PERMATA juga melancarkan Permata Pintar, Permata Insan dan Permata Seni untuk mengenal pasti dan memupuk kanak-kanak berbakat yang cemerlang dalam akademik, pengajian agama dan juga seni persembahan.
Persidangan tiga hari ic-GATE itu dengan tema ‘Meraikan Kepelbagaian dalam Kepintaran’ menarik penyelidik terkenal dari seluruh dunia seperti Profesor Francoys Gagne dari Universiti Quebec, Kanada dan Prof Emerita Joyce van Tassel Baska dari College of William and Mary, Amerika Syarikat.
Turut hadir pada majlis pelancaran itu adalah Timbalan Naib Canselor UKM (Hal-ehwal Akademik dan Antarabangsa) Prof Ir Dr Riza Atiq Abdullah OK Rahmat, mantan Naib Canselor UKM Prof Tan Sri Dato Seri’ Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, Pengarah Pusat PERMATApintar Negara Prof Datuk Dr Noriah Ishak dan Setiausaha Rendah bahagian PERMATA di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Saidatu Akhma Hassan.