Pemimpin Harus Menjadi Mentor
Oleh Haslina Ramlee (Pelajar Pelatih UPM)
Foto Abd Ra’ai Osman
BANGI, 9 Disember 2014 – Seorang pemimpin yang berjaya harus menjadi mentor serta ejen untuk melakukan perubahan kepada masyarakat.
Profesor Adjung di Graduate School of Business Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-GSB) Dato’ Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata kemahiran kepimpinan seseorang turut berkait rapat dengan peranan yang dimainkannya sebagai seorang pemimpin yang berwawasan.
Prof Syed Zainal Abidin berucap demikian pada Syarahan Umum beliau bertajuk “Menggalakkan Amalan Perniagaan Bertanggungjawab Sosial dalam Konteks Glocal” di sini hari ini. ‘Glocal’ bermaksud global dan tempatan.
Beliau berkata kejayaan seseorang usahawan dapat dilihat dari peningkatan perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan dengan wujudnya persaingan.
Prof Syed Zainal Abidin berkata seorang usahawan harus berupaya untuk menghasilkan nilai baru dalam organisasinya selain sentiasa berfikiran positif apabila membuat sesuatu keputusan serta dapat pula bertanggungjawab terhadap risiko yang diambil.
Demikian pula seorang pemimpin perlu mempunyai sifat yang boleh memberi inspirasi dan keyakinan kepada masyarakat serta berkomited terhadap apa yang mereka lakukan.
Program itu adalah suatu program anjuran Pusat Pembangunan Profesional dan Kepimpinan dengan kerjasama UKM-GSB.