Program Buddiez UKM Berjasa Kepada Murid Sekolah
Oleh Haslina Ramlee (Pelajar Pelatih UPM)
Foto Abd Ra’ai Osman
BANGI, 1 Disember 2014 – Persatuan Mahasiswa Anak Johor (PERMAJ) dan Kelab Keusahawanan & Inovasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah melaksanakan suatu program meyakinkan pelajar sekolah rendah mengenai kepentingan pendidikan sepanjang hayat dan berfikiran kritis.
Seramai 20 orang sukarelawan dan 30 orang urusetia kedua pertubuhan itu telah mengambil bahagian dalam program yang diberi nama Buddiez untuk 60 orang murid tahun 5 dari Sekolah Kebangsaan Taman Cendana, Pasir Gudang, Johor.
Program itu yang berlangsung di kampus UKM di sini baru-baru ini adalah juga untuk memupuk sikap positif di kalangan peserta seperti toleransi, kerjasama dalam kumpulan serta bertolak-ansur sesama ahli. Ia telah dirasmikan oleh pengetua Kolej Rahim Kajai, Prof Madya Dr Roslee Rajikan.
Pengarah Program Buddiez Mohd Sabri bin Leman berkata ia juga bertujuan membantu meningkatkan motivasi dan semangat pelajar sekolah rendah dalam menanggani masalah gejala sosial.
Secara tidak langsung program itu telah dapat membina pertalian erat sesama Siswa Siswi Kelab Keusahawanan & Inovasi dan PERMAJ disamping memotivasikan murid yang mengambil bahagian.
Kedua-dua pihak murid dan fasilitator telah mendapat faedah dari pelbagai aktiviti yang dijalankan, kata Mohd Sabri.
“Ia merangkumi pelbagai aspek terutamanya dari segi pembelajaran sepanjang hayat dan memupuk sikap positif di kalangan peserta seperti toleransi, kerjasama dalam kumpulan serta bertolak-ansur sesama ahli,” katanya.