Rakyat Aceh Perlu Bersatu Bangunkannya, Gesa Menteri Malaysia Dan Indonesia
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 27 Disember 2014 – Dua menteri berketurunan Aceh, seorang dari Malaysia dan seorang dari Indonesia, menggesa penduduk di wilayah Indonesia itu menghentikan pergelutan mereka dan bersatu untuk membinanya semula setelah dimusnahkan Tsunami Lautan Hindi tepat 10 tahun lalu.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri Indonesia untuk Agraria dan Tata Ruang Feri Mursyidan Baldan berkata wilayah autonomi Aceh tidak mampu lagi bersengketa secara berlarutan sejak sekian lama.
Berucap pada pelancaran majlis sehari Peringatan Ulang Tahun Ke-Sepuluh Tsunami Aceh anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini, mereka menyeru remaja Aceh yang belajar di Malaysia supaya membantu membangunkan wilayah itu kembali apabila pulang ke kampung halaman.
Kira-kira 250 pelajar Indonesia, kebanyakannya berketurunan Aceh, menyertai perhimpunan peringatan itu yang dianjurkan bersama oleh Persatuan Pelajar Aceh UKM dan Badan Kebajikan Pendidikan Mahasiswa Aceh.
Feri Mursyidan berjanji untuk menyalurkan sumber kementeriannya kepada Aceh jika semua warga wilayah itu bersatu dan sama-sama berkhidmat tanpa mengira fahaman politik atau agama. Aceh telah diletakkan di bawah undang-undang darurat untuk menjaga keamanan tetapi pelabur asing masih tidak yakin dengannya.
“Apa yang perlu dilakukan selepas 20 tahun pelaksanaan undang-undang darurat itu dan apa yang kita akan lakukan selepas 20 tahun? Undang-undang itu mempunyai kelemahan sendiri,” katanya.
Beliau berkata terdapat banyak peluang perniagaan selepas tsunami untuk belia di Aceh berusaha jika mereka bersedia bekerja.
“Aceh mempunyai minyak, uranium dan batu-batu permata. Terpulang kepada kamu untuk mengeksploitasi sumber-sumber semula jadi kerana wilayah itu kaya dengan hasil alam,” katanya.
Tengku Adnan, pula lebih kritikal dengan masyarakat Aceh, yang telah berpecah akibat politik dan agama. Beliau percaya mereka mempunyai bakat dan kemahiran untuk mencebur diri dalam bidang perniagaan seperti nenek moyang mereka pada zaman dahulu yang berhijrah ke negara-negara lain.
Beliau berkata jika keturunan pendatang Aceh ke Tanah Melayu boleh berjaya, begitu juga dengan warga Aceh di Indonesia.
“Saya pun keturunan Aceh. Boleh kaya sebelum pun menjadi menteri,” kata setiausaha agung UMNO itu.
Tengku Adnan berkata pada zahirnya orang Aceh terlalu taksub dengan Jihad, atau perjuangan menentang Jakarta dan menjadi pengikut ajaran tarikat seperti Sufi.
“Mengapa tidak pergi jihad untuk membina infrastruktur dan kemudahan untuk wilayah anda? Mengapa bertengkar atas perkara yang remeh dan pada masa yang sama berharap pelabur luar akan datang?”.
Tengku Adnan juga menggesa mahasiswa berwaspada terhadap golongan yang memperdaya remaja untuk menyertai kumpulan Daulah Islamiyah (IS) di Iraq dan Sham.
Turut hadir pada majlis itu Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Prof Dr Imran Ho Abdullah, Duta Besar Indonesia ke Malaysia Herman Prayitno, Presiden masyarakat Aceh Malaysia Hj Mansyar Usman dan Pengerusi jawatankuasa penganjur acara itu Muhammad Yassar.