Taman Tasik Cempaka Bangi Berwajah Baru
Oleh Haslina Ramlee (Pelajar Pelatih UPM)
Foto Abd Ra’ai Osman
BANGI, 21 Disember 2014 – Taman Tasik Cempaka tempat rekreasi pilihan penduduk Bandar Baru Bangi serta sekitarnya telah diberi wajah baru melalui satu program untuk mengindahkannya hari ini.
Program itu telah dianjurkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi (BANGIKU) dan Bangi Industrial Administrative Association (BIAA) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan.
Setiausaha Bahagian National Blue Ocean Strategy (NBOS) UKM Ahmad Nazri Sulaiman telah merasmikannya. NBOS adalah suatu badan sukarelawan.
Program itu bermula dengan aktiviti senamrobik oleh semua peserta disusuli pelbagai aktiviti termasuk pemeriksaan kesihatan percuma, gotong-royong dan pameran anjuran Pusat Transformasi Komuniti Universiti (LCTC).
Disamping itu suatu pertandingan memungut sampah paling banyak diantara pasukan telah diadakan sebagai satu usaha membersihkannya.
Peserta juga telah menanam pelbagai pokok hiasan serta mengindahkan lanskap hasil sumbangan UPM. Beberapa bangku taman yang dibuat dari simenfero sumbangan UTM Skudai Johor juga diadakan.
Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat) Prof Dr Imran Ho Abdullah, Penolong Setiausaha MPKj Zahari Shukri dan Yang Dipertua BANGIKU Hj Ahmad Sufie turut hadir.