UKM Dan Pusat Permata Pintar Penuhi Keperluan Kanak-kanak Berbakat
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 10 Disember 2014 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan program PERMATApintar akan melakukan segala yang perlu untuk melindungi dan memupuk kanak-kanak berbakat.
Timbalan Naib Canselor UKM (Jaringan Industri dan Masyarakat) Prof Dr Imran Ho Abdullah menyokong pandangan isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor bahawa Malaysia tidak harus kehilangan anak-anak berbakat kepada negara-negara lain. Rosmah adalah penaung program Permata.
Menutup Persidangan Antarabangsa Mengenai Pendidikan Pintar dan Berbakat (IC-GATE) 2014 di sini hari ini, Prof Imran berkata individu berbakat dan pintar adalah mereka yang menunjukkan kecemerlangan bakat atau kecekapan dalam satu atau lebih bidang.
Ia termasuk aktiviti seperti matematik, muzik, bahasa, lukisan, tarian atau sukan.
Persidangan itu adalah yang pertama seumpamanya diadakan di Malaysia. Penyertaan penyelidik terkenal seperti Prof Francoys Gagne, Prof Dr Joyce Van Tassel-Baska, Barbara Reynolds, Dr Linda Brody dan Prof Joseph Renzulli membuktikan bahawa pendidikan khas untuk pelajar pintar dan berbakat mendapat perhatian dunia dan sesuai untuk diamalkan di Malaysia.
Prof Imran berharapan teknik pengajaran yang diamalkan di Pusat PERMATApintar Negara dapat diperkasakan dan diamalkan di sekolah-sekolah lain di Malaysia.
Persidangan itu, katanya, akan membantu membina rangkaian di kalangan ibu bapa, guru, pendidik dan pakar-pakar pendidikan yang berbakat dengan harapan kesimpulan, rumusan dan rancangan tindakan darinya akan menyumbang kepada peningkatan pendidikan pintar dan berbakat.