Usaha Menyatupadukan Negara Perlu Pemikiran Baharu: Tun Daim
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 9 Disember 2014 – Mencapai status negara maju tidak akan bermakna jika Malaysia masih mengalami jurang perbedaan kaum.
Mantan Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin berkata usaha untuk melenyapkan jurang perbedaan kaum dalam negara perlu dilakukan dengan paradigma baru untuk menyatukan semua kaum.
Daim berkata semasa melancarkan buku bertajuk The Colour of Inequality oleh Dr Muhammad Khalid awal bulan lalu beliau sudah pun menyuarakan bahawa pencapaian status negara maju, yang Malaysia cita-citakan, tidak akan bermakna jika rakyat masih berpendapatan di bawah garis kemiskinan dan tidak mampu membeli rumah manakala ketidakadilan terus wujud.
Beliau menegaskan kembali pandangannya bahawa hasrat itu tidak akan tercapai selagi rakyat Malaysia dari pelbagai kaum, Melayu, Cina, India, Kadazan dan lain-lain masih terpisah akibat jurang kaum.
Daim menyuarakan pandangannya itu ketika melancarkan buku bertajuk Transforming Malaysia; Dominant and Competing Paradigms terbitan Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini.
Buku ini memuatkan tulisan beberapa penyumbang dari IKMAS termasuk Felo Penyelidik Utama Prof Emeritus Dato’ Abdul Rahman Embong, Prof Tham Siew Yean, Prof KS Nathan dan Felo Penyelidik Dr Helen Ting.
Ia telah disunting oleh Prof Abdul Rahman, Prof Tham dan Prof Anthony Milner dari Australian National University (ANU), yang pernah menjadi profesor pelawat di UKM.
Daim, yang juga penaung Yayasan Pok Rafeah di IKMAS, berharap buku itu akan menjadi asas untuk pemikiran baru mengenai negara ini.
“Buku ini menekankan kepada pendekatan sejarah idea dan berusaha menganalisis masalah yang sangat kritikal dalam negara serta persoalan paradigma bangsa dominan dan komplikasinya untuk masa depan negara,” katanya.
Beliau berkata buku itu boleh mengilhamkan pemikiran baru yang dapat membantu negara mencapai Wawasan 2020 untuk maju ke hadapan. Ia mengandungi analisis pelbagai isu seperti hubungan kaum, pekerja asing, perdagangan dan dasar luar.
Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, Pengarah IKMAS Prof Dr Rashila Ramli dan Fellow Kanan Akademi Pengajian Melayu di Universiti Malaya, Dr Shaharudin Maaro turut hadir di upacara itu.