Inovasi Mudah Boleh Mendatangkan Perubahan Besar
Oleh Shahfizal Musa
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 5 Feb 2014 – Dalam keadaan dunia sekarang di mana penyelesaian lama tidak lagi dapat menyelesaikan masalah sedia ada, inovasi boleh memberikan kesan dan mendatangkan perubahan besar kepada sesuatu masyarakat.
Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Noor Azlan Ahmad Ghazali berkata inovasi adalah sesuatu yang boleh menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat dan dapat dilakukan oleh siapa sahaja.
Berucap ketika meraikan lebih 100 orang pelajar dari Korea, Indonesia dan Malaysia yang menyertai International Multidisciplinary Design Camp 2014 di satu majlis makan malam di sini hari ini beliau berkata sesuatu inovasi perlu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat.
Beliau telah memberi beberapa contoh inovasi yang telah menyelesaikan masalah masyarakat yang menunjukkan bahawa inovasi yang berkesan tidak bergantung kepada pendapatan kasar sebuah negara atau status seseorang.
Prof Noor Azlan menyebut bagaimana inovasi Prof Muhammad Yunus yang telah mewujudkan suatu sistem pinjaman mudah berjaya mengeluarkan jutaan rakyat Bangladesh daripada belenggu kemiskinan.
Prof Yunus telah mereka suatu sistem pinjaman mikro kredit yang membolehkan orang miskin menjadi usahawan, kata Prof Noor Azlan.
Satu lagi contoh yang diberikannya adalah suatu idea yang mudah tetapi telah menyelamatkan banyak nyawa bayi yang baru dilahirkan.
Dikenali sebagai Embrace Baby Wrap, ia adalah sehelai selimut yang berfungsi seperti inkubator bayi untuk memanaskan bayi. Bayi tidak perlu diletakan dalam inkubator sebaliknya ia disaluti dengan bahan khas yang dapat memberi fungsi yang sama. Ia direka oleh beberapa pelajar dari Stanford University Amerika Syarikat.
Pelajar-pelajar itu terpanggil untuk membuat sesuatu apabila mereka mendapat tahu kadar kematian bayi yang tinggi di negara-negara membangun.
Dianggarkan sejumlah 20 juta bayi dilahirkan dengan berat badan berkurangan dari 2.5 kg dan 96 peratus daripada mereka berada di negara-negara membangun. Seramai 4 juta daripada bayi itu mati sebelum mencapai usia 27 hari.
Prof Noor Azlan berkata ciptaan itu telah memberi impak besar dalam usaha menurunkan kadar kematian bayi dan kini digunakan oleh hospital-hospital di Uganda. Penggunaannya juga telah tersebar ke India.
Selimut yang memanaskan bayi itu amat kos efektif kerana berharga hanya 1% daripada harga sebuah inkubator. Oleh itu ia mampu dimiliki oleh hampir semua hospital di negara-negara membangun.
Dan inovasi yang merubah dunia ini dilakukan oleh para pelajar, tambah beliau.
Apa yang perlu dilakukan oleh pelajar adalah turun ke padang dan menilai masalah yang dihadapi oleh masyarakat dan cuba menyelesaikannya, kata Prof Noor Azlan.
Golongan pelajar mempunyai kelebihan kerana minda mereka mempunyai perspektif yang berbeza. Mereka boleh nampak penyelesaian kepada sesuatu masalah, ketika orang lain berada dalam keadaan buntu, tambah beliau.
Kem Rekabentuk Antarabangsa tersebut adalah program untuk menyemarakkan sifat inovasi di kalangan pelajar. Peserta menjalankan pelbagai aktiviti yang melibatkan inovasi dan diakhiri dengan pertandingan.
Hadir di majlis makan malam itu ialah Prof Dr Mohd Marzuki Mustafa Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina UKM; Prof Kim Dong-Won, Pengarah Pusat Inovasi untuk Pengajian Kejuruteraan Chonbuk National University Korea dan Ketua Delagasi Indonesia dari Institut Teknologi Bandung, Dr Ir Tatacipta Dirgantara.