Pendidik Perlu Sesuaikan Corak Pengajaran Untuk Era Digital
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ihwan Hashim
BANGI, 24 Feb 2014 – Pendidik seperti guru dan pensyarah yang mahu berterusan relevan harus menyesuaikan diri menghadapi kehendak generasi masa kini yang dipupuk dalam era digital.
Penyelidik pendidikan dan Presiden Mobile World Learning Association Prof Dr Mohamed Amin Embi berkata kanak-kanak hari ini tidak lagi boleh diberikan pelajaran secara tradisional kerana mereka mahir menggunakan pelbagai peranti untuk memperolehi maklumat dari seluruh dunia.
Ketika menyampaikan ucaptama di Seminar Antarabangsa Mengenai Pendidikan Global II anjuran Fakulti Pendidikan, UKM dan Universiti EkaSakti Padang (UEP), Indonesia di sini hari ini, Prof Amin Embi berkata keadaan sekarang sudah berbeza dari 20 tahun lalu apabila pelajar hanya mempunyai buku, perpustakaan dan nota kuliah untuk rujukkan.
“Jika kita mengajar pelajar hari ini dengan cara lama, kita akan ketinggalan dan menghalang masa depan mereka,” tegasnya.
Remaja malahan kanak-kanak kini dapat memperolehi maklumat di hujung jari mereka melalui peranti internet mudah alih.
Beliau menasihati pendidik untuk bersimpati kepada pelajar dan tidak menggunakan paksaan ke atas mereka. “Pembelajaran adalah apa yang pelajar lakukan, bukan apa yang dilakukan kepada mereka. Pembelajaran harus ada penyertaan,” katanya.
Prof Amin Embi mencadangkan Flipped Classroom atau Kelas Terbalik, iaitu kaedah pengajaran di mana arahan dihantar secara online di luar dewan kuliah dan tugasan atau projek dilakukan dalam kelas.
Peranan guru juga sudah berubah dan kini lebih menjadi mentor di mana para pendidik akan kurang mengajar walhal pelajar yang akan belajar secara berlebihan.
Prof Amin Embi mengsyorkan bilik darjah tradisional atau sesi kuliah diubah kerana pelajar kini sudah mula belajar perkara asas melalui video pengajaran online iaitu MOOC secara percuma. Dengan itu kaedah pengajaran tradisional sudah tidak sesuai lagi.
Pensyarah kini boleh melengkapkan pembelajaran dalam talian dan menjadi mentor kepada pelajar-pelajar.
Beliau berkata pendidik di universiti awam perlu memenuhi cabaran dari dalam dan luar kerana inovasi seperti internet telah merobah kehendak kaedah pengajaran tradisional hinggakan pensyarah perlu mencuba kaedah baru untuk menyokong dan menerapkan inovasi.
Prof Amin Embi terkenal sebagai seorang pendidik profesional, pemimpin akademik dan pembaharuan dalam pengajaran dan pembelajaran dalam bidang e-Pembelajaran.
Beliau adalah penerima anugerah Laureate Sains ISESCO 2010 kerana sumbangannya kepada teknologi (e-Learning). Beliau juga adalah penerima pertama Anugerah Akademik Negara yang paling berprestij 2006 untuk Pengajaran yang diperkenalkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi.