UKM Memenangi Tempat Kedua Di Pertandingan Shell Eco-Marathon
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ihsan Institut Selfuel UKM
BANGI, 9 Feb 2014 – Institut Selfuel Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) muncul naib juara dalam kategori kenderaan sumber tenaga alternatif di pertandingan Shell Eco-Marathon Asia 2014 di Manila Filipina hari ini.
Pasukan Institut Selfuel, yang diketuai oleh Dr Masli Irwan Rosli dan Dr Teuku Husaini daripada Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), mendapat tempat kedua dalam kategori Prototaip Sel Fuel Hidrogen pada larian muktamad di Manila hari ini.
Kenderaan prototaip UKM itu, yang digelar UKM 2, mencapai jarak maksimum 52.09 km satu kWh.
Hadiah pertama dalam kategori yang sama dimenangi oleh satu lagi institusi dari Malaysia – Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kenderaan UiTM Eco- Sprint yang mencapai jarak 76.00 km bagi satu kWh.
Empat kereta lain dalam kategori yang sama, termasuk penyertaan dari Universiti Malaya, gagal mencapai jarak yang boleh diukur.
Shell Eco-marathon Asia 2014 telah diadakan buat kali pertama di Manila, dari 6 Februari hingga hari ini.
Lebih 100 buah kereta dalam pelbagai bentuk dan saiz telah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut di litar di Luneta Park di Manila.
Kenderaan direka oleh pelajar dari seluruh Asia dan Timur Tengah dalam usaha untuk menetapkan rekod baru dan mencapai jarak terjauh bagi satu liter bahan api.
Tahun ini, sebanyak 68 buah Prototaip dan 37 penyertaan UrbanConcept bertanding untuk menetapkan rekod baru dalam trek perlumbaan Bandar. Inilah kali pertamanya pertandingan demikian diadakan atas jalan raya dalam bandar.
Kenderaan menggunakan pelbagai sumber tenaga: selfuel hidrogen, bateri elektrik, petrol, diesel, Gas Shell Cecair (GTL ), Asid lemak metil ester (FAME) dan etanol E100.
Pasukan pelajar mengambil bahagian dalam satu atau kedua-dua kategori Prototaip dan UrbanConcept di pertandingan itu.
Selfuel adalah peranti yang menukarkan tenaga kimia dari hidrogen kepada tenaga elektrik melalui tindak balas kimia dengan oksigen atau agen pengoksidaan. Hidrogen adalah bahan api yang biasa digunakan tetapi hidrokarbon seperti gas asli dan alkohol seperti methanol juga digunakan.
Enjin kereta selfuel tidak mengeluarkan sebarang asap atau beracun yang mencemarkan udara.
Institut Selfuel telah ditubuhkan pada tahun 2007 dan merupakan institut penyelidikan yang pertama di Malaysia menjalankan penyelidikan mengenai selfuel dan tenaga hidrogen.