Azam Naib Canselor Baru Membawa UKM Ke Mercu Kecemerlangan

ISNIN, 06 JANUARI 2014 00:00

By Shahfizal Musa
Foto Raai Osman

BANGI, 2 Jan 2014 – Peranan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai pelindung negara dan nilai kebangsaan harus dapat memberi ruang kepadanya menempah nama di pentas dunia sebagai sebuah universiti cemerlang.

Prof Dato’ Dr Noor Azlan Ghazali Ahmad yang memulakan tugasnya sebagai Naib Canselor hari ini berkata UKM perlu menerajui program transformasi negara dengan sentiasa menjaga nilai-nilai kebangsaan. Ini dapat dilakukannya dengan terus setia kepada hasrat penubuhannya.

“Visi negara adalah visi kita, masalah negara juga masalah kita dan kecemerlangan kita patut membawa kepada kecemerlangan negara selain turut menyumbang kepada masyarakat global,” katanya.

Prof Noor Azlan berkata walaupun mungkin ada yang beranggapan oleh kerana UKM harus memartabatkan bahasa Melayu ia akan menjadi suatu penghalang kepadanya untuk mencipta nama di persada dunia.

Bagaimana pun beliau berkata nilai kebangsaan bukanlah suatu kekangan tetapi ia adalah suatu keunikan yang dapat melonjakkannya. Ini telah pun dibuktikan dengan tahap ranking beberapa universiti dari Jerman dan Jepun yang menggunakan bahasa kebangsaan mereka sendiri. Mereka tetap berada di rangking yang tinggi.

Tokyo University di Jepun umpamanya berada di tangga ke 27 dari 400 universiti terbaik dunia mengikut ranking Times Higher Education University World Ranking.

Beliau berkata untuk mencapai kecemerlangan UKM mesti setia kepada perjuangan dan sebab penubuhannya.

Salah satu agenda yang dianggap penting olehnya adalah untuk memastikan pelajar yang masuk ke UKM di transformasi menjadi modal insan contoh kepada semua.

“Kita perlu memastikan apabila seseorang pelajar datang belajar di UKM, mereka akan berada dalam persekitaran yang lebih terbaik supaya apabila keluar nanti mereka menjadi modal insan yang bernilai tinggi,” kata Prof Noor Azlan.


Ini bermaksud mereka akan menjadi aset kepada kerajaan negara mereka masing-masing serta industri yang mereka ceburi serta masyarakat mereka sendiri. Lulusan itu harus boleh memberi kesan positif tidak kira apa jua peranan yang mereka mainkan.

Ini mungkin dianggap seperti matlamat yang tinggi melangit khususnya di saat pihak kerajaan sedang melaksanakan pemotongan belanjawan.

Beliau berkata pemotongan peruntukan demikian adalah suatu peluang untuk pihak universiti berusaha menjana kekayaan sendiri. Apa yang diperlukan hanyalah perubahan cara berfikir, suatu anjakan paradigma.

Pemotongan belanjawan ini adalah suatu isyarat kepada universiti untuk berusaha menjana pendapatan sendiri dan belajar berjalan tanpa disokong kerajaan setiap masa.

Prof Noor Azlan berkata ia adalah peluang yang besar bagi UKM menerokai model baru yang dapat membantunya meneruskan pembangunan secara lestari. Ini boleh dilakukan dengan kolaborasi yang lebih intensif dengan pihak swasta dan industeri serta kerajaan dan komuniti.

Beliau berkata banyak universiti yang tersohor di dunia juga melalui faktor daya tekanan demikian. Mereka telah pun menjumpai model operasi yang lestari dan telah mencapai kejayaan.

Ini adalah apa yang telah dilakukan UKM dan akan dipergiatkan lagi. Tetapi kita akan melakukannya mengikut acuan sendiri yang akan membawa kecemerlangan kepada negara dan melangkaui wawasan pelopor UKM yang telah berkorban demi keutuhan dan kecemerlangannya.