Latihan Baru Palapes Bermula
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ra’ai Osman
BANGI, 25 Jan 2014 – Anggota PALAPES UKM diseru menghayati dan mengamalkan tiga aspek, iaitu Kualiti, Latihan dan Disiplin yang telah ditetapkan sepanjang penglibatan mereka dalam pasukan itu.
Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, selaku Komandan PALAPES UKM menggariskan teras itu ketika berucap di Perbarisan Komandan sempena pembukaan Latihan PALAPES di Dataran Gemilang UKM Bangi hari ini.
Prof Noor Azlan berkata anggota pasukan simpanan itu harus memberikan kesetiaan secara total bagi memastikan PALAPES menjadi satu sistem pemerintahan ketenteraan yang utuh dan berkesan.
Teras kesatuan, katanya, menuntut warga PALAPES sentiasa berdiri teguh sebagai sebuah pasukan yang berpaksikan semangat setia kawan atau esprit-de-corps. Kesatuan ampuh dalam pasukan akan menjadi perisai kepada sebarang percubaan untuk memecahbelahkan pasukan yang perlu sentiasa bersedia mempertahankan kedaulatan tanah air.
Beliau menyeru mereka bersedia berkorban untuk menghadapi segala dugaan bagi memastikan kecemerlangan organisasi dapat dibina bersama.
Kecemerlangan yang dituntut hanya akan terhasil dengan pemimpin dan pengikut sanggup berkorban, melakukan kebaikan kepada organisasi, masyarakat dan negara serta berupaya mengatasi kepentingan diri sendiri.
Prof Noor Azlan menyeru mereka menghayati disiplin ketenteraan yang tinggi, memastikan keterampilan diri, membentuk semangat kenegaraan dan memaparkan contoh sahsiah terpuji pada setiap masa bagi memenuhi kehendak teras keunggulan yang boleh mengekalkan PALAPES UKM terus berada di hadapan dan dihormati.
Sebagai anggota PALAPES mereka juga perlu berusaha menyerap budaya kecemerlangan ke dalam kehidupan mereka. Budaya kecemerlangan itu akan terlihat dalam semua aspek kehidupan merangkumi pencapaian akademik, pandangan hidup atau worldview, disiplin ketenteraan dan kemahiran insaniah.
Beliau berbangga melihat anggota PALAPES UKM berjaya melalui proses transformasi sebagai pegawai ketenteraan yang sentiasa menghayati nilai-nilai murni dalam lima teras yang dipupuk sepanjang latihan dan akhirnya menjadi pemimpin masa depan yang unggul dan disanjungi.
Turut hadir Ketua latihan PALAPES UKM dan Timbalan Komandan, Lt Kol Mohd Sahar Haji Said.
PALAPES ditugaskan di bawah rejimen Askar Wataniah (RAW) yang mempunyai tanggung jawab yang sama dengan anggota tetap.
PALAPES juga bertujuan untuk melahirkan pegawai-pegawai Askar Wataniah Malaysia dan mereka turut mendapat keistimewaan dua suasana iaitu sebagai seorang anggota tentera dan juga orang awam atau siswazah.