Pelancongan Di Pulau Banding Perlu Dikawal
Foto Ikhwan Hashim
PUTRAJAYA, 10 Jul 2014 – Peningkatan jumlah pelancong di Pulau Banding yang terletak dalam hutan hujan Belum-Temenggor di Perak perlu dikawal selia untuk mengelakkan kemusnahan alam semulajadi di situ.
Penyelidik terkemuka hutan hujan tropika Malaysia Profesor Emeritus Dato’ Dr Abdul Latif Mohamad berkata pada masa ini tidak terdapat sebarang penyeliaan untuk menangani pencemaran berikutan dengan peningkatan bilangan pelancong ke pulau itu. Kawasan itu adalah salah satu warisan alam yang tertua di dunia.
Prof Latif, yang juga Pengerusi Yayasan Pulau Banding berkata beliau dan ahli-ahli sains lain dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) mendapati pengurusan sisa di situ semakin tidak berkesan akibat penambahan ketara pengunjung.
Beliau memberitahu Portal Berita UKM selepas upacara menandatangani MoU antara Yayasan itu dengan UKM dan USM di sini hari ini bahawa penyelidik yayasan khuatir pulau-pulau di Tasik Penunggu akan tercemar teruk sehingga tidak boleh dipulihkan jika pihak berkuasa tidak bertindak secepat mungkin menangani pertumbuhan di situ.
“Orang ramai ingin tinggal dalam chalet dan rumah-bot di sana. Kami meramalkan lebih ramai pelancong akan ke sana hingga ke satu tahap di mana kami tidak lagi dapat mengawalnya. Bayangkan sekarang sudah ada tujuh rumah-bot dimiliki tiga pengusaha.
“Banyak pulau di tasik itu telah dibangunkan untuk bercuti. Kesimpulannya jika pembangunan tidak dikawal persekitaran alamnya akan tercemar, terutama di tasik. Itulah sebabnya apabila yayasan diwujudkan (pada 2007) kami merayu kerajaan negeri Perak bertindak untuk memelihara Hutan Simpan Belum dan Hutan Simpan Temenggor yang bersebelahan,” katanya.
Walaupun hutan simpan Belum dinaiktaraf kepada Taman Di Raja Belum ia tidak dapat menentukan wujudnya pembangunan lestari.
Beliau berkata pembalakan adalah satu-satunya sumber pendapatan besar bagi kawasan utara Perak. Jika pembalakan berkembang dari Gerik, mereka khuatir kawasan Hutan Simpan Belum akan di cerebohi dan telah berusaha mendapatkan status taman negeri diraja. Yayasan juga telah memohon ia dijadikan kawasan warisan dunia, kata Prof Latif.
Yayasan juga berharap MoU itu serta sumbangan RM5 juta yang diumumkan Perdana Menteri beberapa bulan lalu akan mendorong usaha-usaha pemuliharaan.
Yayasan telah pun merangka suatu piagam Pulau Banding mengenai pemuliharaan dan pemeliharaan taman negeri untuk dilaksanakan kerajaan negeri Perak. Ia menyediakan garis panduan terhadap kaedah pengurusan sisa, termasuk pelupusan najis manusia.
Bagaimanapun piagam itu sudah tidak memadai kerana peningkatan ketara jumlah pelawat ke Tasik Banding sekarang ini. Kerajaan Perak pula tidak mempunyai tenaga penyelidik untuk menjalankan kajian lanjut dan telah meminta bantuan pemaju hartanah Emkay Holdings, UKM dan USM.
Prof Latif yakin jika kawasan itu dapat dibangunkan secara lestari, ia akan mempunyai kesan limpahan positif terhadap daerah Gerik dan Lenggong untuk menjadikan kedua kawasan itu sebagai hab pertanian dan pelancongan.
Beliau berkata semua Menteri Besar yang mereka temui peka terhadap masalah itu. Sektor swasta juga berminat untuk membangunkannya secara lestari. Walaupun kini hanya Emkay Holdings sahaja yang melakukannya tidak ada halangan bagi pihak lain turut terlibat hinggakan terdapat sebuah syarikat dari Melaka telah menunjukkan minat, katanya
Apabila terdapat rakan kongsi yang berminat, Prof Latif menerangkan bahawa piagam pemeliharaan Banding yang telah dikemukakan kepada kerajaan akan dapat menentukan pertumbuhan terkawal dan pengurusan sisa yang lebih baik untuk kawasan pelancongan yang semakin popular itu.
Hutan hujan tropika mengandungi 67% daripada semua flora dan fauna bumi. Adalah dianggarkan ratusan juta spesies haiwan, serangga dan mikroorganisma wujud dalam kawasan alam perlindungan yang luas seperti Belum-Temenggor.
Dilahirkan Kampung Parang Puting, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1948, Prof Latif adalah salah seorang pensyarah kanan biologi di UKM. Beliau menerima ijazah pertamanya dalam Botani dari Universiti Malaya dan dilantik sebagai Tutor di UKM. Beliau memperolehi ijazah PhDnya dari Universiti Reading, England pada tahun 1978. Beliau menerima gelaran Profesor Emeritus pada tahun 2008 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam bidang sains terutamanya dalam kajian biodiversiti.