UKM Dan USM Jalankan Penyelidikan Dan Pulihara Hutan Belum
Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim
PUTRAJAYA, 10 Julai 2014 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) akan menjalankan penyelidikan bagi pemuliharaan, pemeliharaan dan perlindungan spesis haiwan dan tumbuhan di Pulau Orang Utan dan Pulau Banding di Hutan Simpanan Belum, Perak.
Dua Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani di sini hari ini di Kementerian Pendidikan antara UKM/USM dan Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah serta Yayasan Pulau Banding bagi tujuan itu. Ia disaksikan oleh Menteri Pelajaran II Dato’ Seri Idris Jusoh.
Naib Canselor Profesor Datuk Dr Noor Azlan Ghazali dan Prof Dato’ Dr Omar Osman mewakili UKM dan USM, manakala Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah dan Penasihat Yayasan Pulau Banding Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar menandatangani bagi kedua-dua badan itu.
Idris berkata Pulau Orang Utan dan Hutan Belum adalah aset besar negara bukan sahaja untuk memastikan pembangunan seimbang tetapi juga sebagai kawasan khusus bagi institusi-institusi penyelidikan.
“Mereka yang mahu tahu mengenai spesis Orang Utan boleh merujuk kepada USM. Dan yang hendak tahu mengenai tumbuh-tumbuhan Hutan Belum boleh merujuk kepada UKM. Kedua universiti akan terus menjalankan penyelidikan dan pendidikan mengenainya,” kata beliau.
Prof Noor Azlan berkata, UKM mempunyai kepakaran yang diperlukan untuk merangka kaedah melindungi biodiversiti haiwan dan tumbuh-tumbuhan serta menyelidik spesis di Hutan Belum sebagaimana ia lakukan dengan cemerlangnya di Langkawi GeoPark dan Taman Laut di Mersing.
Prof Sains Biologi USM Dr Mashhor Mansor berkata kajian USM bertujuan untuk meningkatkan status Orang Utan seperti Panda kerana Orang Utan hanya berasal dari Malaysia dan Indonesia.
“Orang Utan adalah spesis yang masyhur sedangkan kami tidak mempunyai ruang untuk menjalankan kajian yang mendalam seperti Panda di China. Apa yang kami siarkan mengenai orang utan akan pasti diikuti sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Kawasan Pulau Orang Utan Bukit Merah adalah satu-satunya Pusat luar tapak pemuliharaan Orang Utan, di mana habitat hampir serupa kawasan asal haiwan tersebut dicipta untuk menyelamatkannya daripada kepupusan.
Pusat itu telah memajak sembilan ekor Orang Utan dari kerajaan Sarawak dan tiga ekor lagi dari Zoo Melaka. Kini haiwan itu kini telah membiak menjadi 24 ekor.
Tan Sri Mustapha Kamal, yang berazam dalam usaha menyelamatkan populasi orang utan, memberitahu kerajaan berjanji memperuntukkan RM5 juta untuk projek di Pulau Orang Utan itu.
Yayasan Pulau Banding, yang ditubuhkan pada tahun 2007, bertujuan untuk menggalakkan penyelidikan dan kajian di hutan hujan tropika di situ. Ia dibangunkan dari visi mengekalkan kelestarian hutan tropika Belum-Temengor demi kepentingan landskap, persekitaran dan komunitinya.