UKM-GSB Membawa Kegembiraan Hari Raya Kepada Anak-anak Yatim
Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 21 Julai 2014 – Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-GSB) telah meraikan anak-anak yatim dari dua buah rumah anak yatim dalam suatu majlis berbuka puasa di Puri Pujangga di sini hari ini.
Seramai 84 orang anak yatim yang berumur di antara 6 hingga 17 tahun dari Pusat Penjagaan Persatuan Kebajikan Islam Peribadi Mulia, Kajang dan Rumah Anak Yatim Jalinan Kasih, Cheras telah hadir. Mereka juga diberi sumbangan ‘duit raya’ serta cenderahati dari GSB.
Seorang pelajar PhD GSB Rafidah Othman yang sering menjalankan kerja-kerja amal mencetuskan idea acara amal berbuka puasa itu dan telah mendapat kerjasama GSB untuk menganjurkannya.
Rafidah sebelum ini telah menziarahi rumah Peribadi Mulia, Kajang bersama pelajar dan ahli fakulti GSB dan berjaya mengumpul lebih RM30,000 untuk dihulurkan sebagai bantuan.
Beliau berkata pelajar perlu berusaha untuk membantu orang miskin dan yang menghadapi kesusahan supaya mereka juga dapat merasi kegembiraan hidup.
Rafidah bersyukur kerana dapat menjayakan program itu dan berharap kanak-kanak itu boleh bergembira dengan program mereka.
Acara itu diadakan dengan bantuan derma dari GSB serta pelbagai organisasi dan individu. Antara penyumbang utama adalah Pilihan Terbaik Real Estate Development Sdn Bhd, MD Penyelesaian, Usaha Kekal dan Iltizam Catering.
Dekan GSB, Prof Madya Dr Izani bin Ibrahim memuji usaha pelajarnya dan kesungguhan mereka menganjurkan acara amal. Pihak pengurusan GSB katanya, menyokong penuh usaha pelajarnya berbakti kepada masyarakat dan menganggapnya sebagai suatu tanggungjawab mereka.
Satu sesi Tazkirah ringkas bertajuk “Kesyukuran” telah disampaikan oleh Ustaz Abu Darda bin Mohamad dari Jabatan Dakwah dan Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam (FPI).
Pengerusi projek amal itu Prof Madya Dr Puan bt Yatim; Timbalan Dekan GSB Prof Madya Dr Khairul Anuar Bin Mohd Ali dan beberapa orang individu yang telah menderma untuk majlis itu turut hadir.