Siswa OKU UKM Pelopori Perniagaan
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Muhammad Izwan Azman
BANGI, 12 Jun 2014 – Sekumpulan pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mungkin menjadi perintis dalam kalangan pelajar OKU di institusi pengajian tinggi awam yang menceburi bidang perniagaan.
Kelab Mahasiswa Istimewa (KMI) yang diwujudkan khusus untuk siswa OKU UKM sudah memiliki sebuah kedai dikenali sebagai Santai Istimewa di aras 7 Bangunan Pusanika dalam kampus UKM di sini.
Jurucakap KMI, Wan Mohamad Syahir, 29 tahun, memberitahu Portal Berita UKM bahawa inisiatif itu dijalankan kelab untuk mendidik anggotanya belajar menjadi usahawan yang berjaya supaya mereka boleh berdikari.
Rekod menunjukkan bahawa kelab itu mungkin merupakan satu-satunya kelab sedemikian di institusi pengajian tinggi awam di Malaysia yang memiliki kedai.
Wan Mohamad yang sedang menjalankan pengajian sarjananya di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) berkata kedai Santai Istimewa itu mula beroperasi pada 1 Mac dengan modal RM10,000.
Syarikat yang mempunyai tiga orang rakan kongsi itu menguruskan kedai dengan rancangan perniagaan disediakan oleh beberapa orang alumni UKM untuk mendedahkan mereka kepada pengalaman perniagaan. Penjualan di kedainya itu kini sudah mencecah RM100 sehari.
Kedai itu mendapat kerjasama Syarikat Fuzail Resources yang memasarkan aiskrim premium berjenama Parabella. KMI juga telah menjalankan perniagaan di Temasya Muamalah Islam sempena Program Dakwah Negara 2014 dalam kampus UKM di sini pada 30 Mei lalu.
Urusan kewangan syarikat itu menggunakan data kewangan Google Drive yang membolehkan semua rakan kongsinya mengakses kedudukan kewangan syarikat dari semasa ke semasa. Penggunaan Google Drive menentukan urusan kewangannya adalah terurus dan sistematik. Ia juga menentukan tidak berlaku kesilapan pengiraan kewangan manakala penggunaannya adalah cepat dan mudah.
Bagaimanapun KMI menghadapi kekangan kerana tidak cukup pekerja untuk menjalankan perniagaannya kerana mereka kekurangan modal untuk menggaji pekerja.
Mereka juga tidak dapat melakukan usaha naik taraf kedai demi keselesaan perniagaan. Kedai itu juga memerlukan modal untuk menampal lubang pada silingnya serta memperbaiki keadaan keseluruhannya.
Kedai itu juga perlu dilengkapkan dengan meja baru khas yang mempunyai soket elektrik untuk penyediaan aiskrim, kata Wan Mohamad.