TPM: Islam Tolak Kebebasan Tanpa Batas
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman
BANGI, 28 Mei 2014 – Dalam usaha mengamalkan hak asasi manusia, keutamaan mesti diberi kepada akidah Islam, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
Berucap menutup Kongres Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini, Tan Sri Muhyiddin berkata umat Islam harus berwaspada terhadap arus pemikiran Barat yang mempertahankan kebebasan tanpa had apabila memperjuangkan hak asasi.
Beliau berkata terdapat amalan Barat yang mengutamakan sekularisme dan liberalisme yang jelas bertentangan dengan keimanan Islam.
“Begitu juga dengan hak untuk berkahwin bagi pasangan berlainan agama serta mengamalkan gaya hidup gay, lesbian dan transgender,” katanya kepada lebih 2,000 perwakilan daripada 198 buah NGO dalam kongres yang dianjurkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama UKM.
Muhyiddin berkata perbuatan itu adalah bertentangan dengan prinsip asas akidah Islam yang menyeru mereka memelihara keimanan dan ketakwaan terhadap Allah SWT.
Amalan LGBT adalah jelas bercanggah dengan syariat dan tidak diiktiraf sebagai hak yang perlu dipelihara di dalam Islam, katanya.
Muhyiddin juga menggesa NGO Islam merujuk kepada Deklarasi Kaherah 1990 mengenai Hak Asasi Manusia dalam Islam sebagai garis panduan untuk menggalakkan hak asasi manusia dalam konteks Islam.
“Saya percaya kandungan Deklarasi Kaherah boleh digunakan sebagai garis panduan oleh negara-negara Islam untuk mempromosikan pemahaman hak asasi manusia menurut perspektif Islam,” katanya.
Tan Sri Muhyiddin kemudiannya menerima resolusi kongres daripada Naib Pengerusi Himpunan Keilmuan Islam (HAKIM), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Antara lain resolusi itu menggesa kerajaan menggunakan kuasa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai sangga kepada keutuhan agama serta menuntut umat Islam di negara ini bersatu tanpa mengira fahaman politik.
NGO Islam, termasuk YADIM dan HAKIM, katanya, mempunyai peranan yang amat penting dalam memberikan penjelasan kepada masyarakat tentang konsep hak asasi manusia di dalam Islam.
Turut hadir pada majlis tersebut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi ), Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar, Yang Dipertua YADIM Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha.