Tragedi Natrah Membakar Semangat Juang Melayu Untuk Islam
Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Izwan Azman
BANGI, 29 Mei 2014 – Rusuhan Natrah yang berlaku di Singapura Disember 1950 telah membangkitkan semangat perpaduan, keberanian serta keimanan orang Melayu hingga mempersoalkan kekuasaan penjajah waktu itu.
Penulis buku biografi Natrah, Datin Fatini Yaacob memberi pandangannya mengenai rusuhan itu dan mengatakan berkata peristiwa Natrah bukanlah satu kekalahan bagi orang Melayu seperti ditohmahkan British pada masa itu, tetapi telah membawa kepada kebangkitan orang Melayu dan membakar semangat untuk berjuang mencapai kemerdekaan.
Beliau menghuraikan pengalamannya ketika membuat kajian terhadap tragedi itu untuk menulis buku mengenainya termasuk temubualnya dengan Natrah sendiri.
Wacana itu berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) awal bulan ini yang juga disertai bekas pensyarah UKM Encik Nasharudin Mat Isa dan Prof Madya Dr Jasri Jamal dari Fakulti Undang-undang.
Wacana bertajuk “Rusuhan Natrah: Implikasi Terhadap Islam” adalah untuk membincangkan implikasinya terhadap orang Melayu ketika itu dan generasi pada masa ini.
Natrah atau nama sebenarnya Maria Bertha Hertogh, yang dilahirkan pada 24 Mac, 1937, adalah seorang kanak-kanak Belanda yang telah diserahkan ibu bapa kandungnya kepada keluarga Melayu kerana melarikan diri daripada serangan Jepun semasa perang dunia kedua.
Justeru, Natrah dengan itu telah dibesarkan sebagai seorang Muslim dan Melayu oleh keluarga angkatnya di Malaya.
Setelah tamat peperangan ibu bapa kandung Natrah kembali ke Malaya dan meminta anak mereka dikembalikan hingga terpaksa mengemukakan tuntutan di mahkamah.
Pada mulanya, Che Aminah, ibu angkat Natrah telah diberi hak penjagaan tetapi keadaan itu dikeruhkan apabila pihak tertentu mendapat tahu Natrah, yang pada masa itu berumur 13 tahun telah berkahwin dengan seorang guru berumur 22 tahun, Mansor Adabi.
Perundangan Belanda tidak membenarkan seseorang di bawah umur 16 untuk berkahwin. Akhirnya mahkamah Singapura memutuskan hak penjagaan diberi kembali kepada ibu bapa kandungnya.
Keluarga itu pulang ke Belanda. Natrah meninggalkan Islam dan memeluk agama Kristian hingga menaikkan kemarahan orang Melayu di Malaya khususnya Singapura.
Ini telah membawa kepada kekecohan dan rusuhan di Singapura pada 12 Disember 1950 hingga menyebabkan 18 orang terkorban dan lebih 200 orang lagi cedera.
Natrah kemudiannya berpindah ke Amerika Syarikat (AS) pada 1984 dan menetap di sana sehingga meninggal dunia pada 2009 kerana Leukaemia.
Fatini berkata semasa menemuinya di Lake Tahoe Amerika Syarikat,pada 1989, Natrah sudah berusia 52 tahun dan beliau melihatnya sebagai seorang wanita yang sudah tidak bermaya dan patah semangat. Natrah sebelum itu telah beberapa kali keluar dan masuk wad psikiatri.
“Keadaan mental dan emosinya sangat lesu dan letih. Ada satu ketakutan dalam dirinya, takut terhadap orang-orang Melayu dan Islam. Ketakutan yang dia tidak boleh jelaskan atau lupa. Pendapat saya adalah, dia diberitahu berkali-kali oleh penjaganya bahawa orang berjuang, cedera dan mati kerana tindakannya memeluk Islam dan berkahwin dengan seorang lelaki Muslim tanpa keizinan ibu bapa kandungnya. Dia akhirnya mempercayai bahawa orang Melayu melihat dirinya sebagai pengkhianat dan mahu mencederakannya. Walaupun ia tidak benar, tetapi itu yang dia percaya. Dia tinggal dengan kekeliruan dan pergolakan emosinya untuk masa yang sangat lama, cukup untuk membuatkan dirinya tidak begitu stabil,” kata Fatini.
“Walaupun ceritanya sangat sedih, keputusan mahkamah yang tidak berhati perut hingga membawa kepada kebangkitan orang Melayu bukanlah satu tragedi. Orang Melayu yang ditohmahkan British sebagai kaum pemalas, takut, tiada tulang belakang dan tidak ada semangat kebangsaan telah bangkit untuk mempertahankan agama dan bangsa serta menunjukkan semangat cintakan agama yang tidak boleh dipersendakan. Orang Melayu telah bangkit untuk menentang usaha memperlekehkan agama serta dijadikan bahan ejekan oleh pihak yang tidak faham agama Islam”, kata Fatini.
Isu itu sebenarnya telah membawa kepada penyatuan dan perpaduan dalam kalangan orang Melayu bersama-sama berjuang untuk sesuatu yang lebih bernilai daripada sekadar kehidupan seorang gadis remaja Belanda.
“Natrah tidak begitu penting dalam sejarah kita, dia adalah alat untuk sejarah dan takdir untuk membangkitkan semangat Melayu untuk bersatu. Ceritanya memang sedih dan tragis tetapi ia bukannya isu utama. Isu sebenar adalah penyatuan, semangat jati diri dan bangkit berjuang untuk hak agama,” kata Fatini.
Api yang telah membakar semangat orang Melayu dan mencetuskan rusuhan adalah media asing yang tidak sensitif menjatuhkan maruah agama Islam hingga membuatkan orang Melayu bangkit untuk memberontak dan mempertahankan Islam.
Gambar Natrah berdoa dan melutut di hadapan patung The Virgin Mary di sebuah gereja dan beberapa artikel yang diterbitkan yang ‘menunjukkan’ bagaimana Natrah gembira dan ‘lega’ untuk menjadi seorang Kristian semula, melanggar banyak sensitiviti agama dan cara ia dilaporkan menunjukkan bagaimana media asing telah sengaja mengundang kemarahan orang Islam.
Tidak sensitif dan penggunaan istilah yang menghina oleh media mengenai Islam menyebabkan kemarahan yang tidak pernah dilihat oleh British dari negara yang mereka percaya sebagai salah satu tanah jajahannya yang jinak dan rapuh.
Kemarahan yang membuak itu akhirnya meletus dengan rakyat beramai-ramai turun ke jalan raya di Tanah Melayu dan Singapura serta merusuh menentang kebiadaban media dan keangkuhan mahkamah penjajah yang tidak menghormati agama.
Menyentuh isu belia, Nasharudin pula melahirkan kekecewaan dengan generasi muda Melayu hari ini yang mewarisi kebebasan dan hak tanpa pernah berperang untuk mendapatkan kemerdekaan.
“Sehingga hari ini rusuhan oleh orang Melayu di Tanah Melayu dan Singapura, menunjukkan British kenapa Melayu adalah satu-satunya bangsa yang mereka tidak pernah benar-benar jajah. Semangat perjuangan, patriotik, jati diri dan keimanan terhadap Islam yang membangkitkan kita, malangnya, adalah apa yang kini telah hilang dalam tempoh 64 tahun selepas Natrah,” kata Nasharudin.
Ketika itu terdapat orang Melayu yang pergi ke kelab malam dan minum arak tetapi apabila mereka mendengar apa yang berlaku kepada Natrah mereka menyertai rusuhan untuk mempertahankan agama mereka, kerana mereka tahu ia adalah kewajipan walaupun mereka tidak melakukan sepenuhnya apa yang diharapkan daripada seorang Muslim setiap hari.
Beliau menerangkan dilema moral, etika dan rohani dan juga kehilangan identiti oleh belia Melayu Islam kini telah memasuki ke suatu tahap mereka tidak lagi mengambil berat atau kisah dengan kelakuan tidak bermoral dan menjijikkan yang malu untuk di tonton oleh keluraga dan orang awam tetapi lebih-lebih lagi ia adalah satu dosa terhadap Islam itu sendiri.
Sekarang kita lihat anak muda Melayu, terutama di Kuala Lumpur, berlumba-lumba memakai pakaian menjolok mata seperti yang berlaku di Amerika. Kini terdapat pemuda Melayu yang tidak boleh membaca doa yang paling mudah pada usia 20 tahun. Mereka mengatakan ini bukan kesalahan mereka, apabila dilahirkan sebagai Melayu secara automatik mereka adalah Islam. Melayu dan Islam selalunya satu, kata Nasharudin.
Seseorang tidak boleh menjadi Melayu dan bukan Islam. Mereka yang mengaku Melayu tetapi bukan Islam sudah murtad, seperti apa yang Natrah lakukan. Bezanya ada kuasa luar yang memaksa Natrah meninggalkan Islam tetapi bagi sesetengah belia Melayu sekarang siapa pun tidak memaksa mereka melupakan agama, tambah beliau.
Nashrudin berkata warisan yang ditinggalkan kes Natrah membuatkan orang Melayu menjadi lebih prihatin terhadap agama sendiri dan akan sentiasa bersatu untuk mempertahankannya, tidak kira apa yang berlaku. Selepas Natrah, ia mendorong semangat perjuangan yang membawa kepada kemerdekaan daripada pemerintahan British dan akhirnya, untuk mengukuhkan pegangan terhadap Islam hingga menjadikan Islam agama persekutuan dan agama rasmi negara.
Dr Jasri pula berkata terdapat ramai pemimpin Melayu Islam yang besar dan hebat ketika itu yang banyak berkorban memperjuangkan hak Natrah dan hak orang Melayu Islam.
Pemimpin seperti Allahyarham Professor Emeritus Tan Sri Ahmad Ibrahim, peguam Natrah yang berjuang untuk membantu Natrah adalah pemimpin undang-undang Islam di Malaysia dan diiktiraf sebagai Bapa Sistem Perundangan Malaysia.
Prof Ahmad Ibrahim juga berjaya memisahkan kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah melalui pindaan Perkara 121 (1A) pada 1988.
Dr Jasri berkata tokoh-tokoh berpengaruh seperti Abdul Karim Ghani, Dr Burhanuddin al-Helmy, Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Sardon Jubir telah mengetepikan perbezaan ideologi politik mereka untuk mempertahankan kesucian agama Islam, yang dipandang rendah oleh penjajah.
“Mereka berjuang keras untuk mempertahankan Islam sehingga ia dengan rasminya diterima sebagai agama persekutuan dan agama rasmi Malaysia. Saya mesti mengingatkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam, oleh itu undang-undang Islam masih terpakai dan boleh digunakan orang Islam,” katanya.
Bersetuju dengan Nasharudin dan Dr Jasri, Fatini juga percaya bahawa belia Islam Melayu telah gagal untuk melakukan perkara yang bermanfaat dalam beberapa dekad yang lalu. Abad ke-21 akan tiba kepertengahan umur dan lebih ramai belia Islam bertambah dengan perangai buruk daripada menjadi lebih baik.
“Adakah kita menunggu satu lagi Natrah? Atau satu lagi kes Lina Joy yang akan membuat kita lebih serius terhadap agama kita? Kenapa mereka tidak berjuang untuk agama sendiri?”
Sebaliknya kini terdapat belia Melayu Islam sendiri mempersoalkan sejarah Melayu, menuduh kerajaan merekayasah cerita dan menghina pemimpin Melayu yang telah membuat begitu banyak pengorbanan untuk melihat Malaya bebas dari belenggu penjajahan. Lebih buruk lagi, belia inilah juga yang mempersoalkan ayat-ayat Al-Quran dan cuba menulis semula hadis dan nilai-nilai Islam untuk disesuaikan dengan dunia moden seperti kesaksamaan dan kehidupan tidak bermoral, kata Fatini.
Nasharudin melahirkan rasa sedihnya terhadap peningkatan jumlah remaja Melayu yang kini lebih terkenal dengan menunjuk perasaan memperjuangkan hak orang lain bukan untuk Melayu Islam.
Mereka juga melaungkan idea kesaksamaan agama yang akan membunuh kesucian Islam disamping memperjuangkan hak LGBT dan boleh berkahwin adalah perlakuan yang dianggapnya sebagai meludah ke muka Islam dan menganggapnya sebagai suatu perlakuan yang memalu dan menakutkan.
Kes Natrah adalah cerita sejarah dan cerita moral yang perlu diberitahu berulang kali kepada belia hari ini supaya mereka menginsafi tugas mereka sebagai penganut Islam dan pemimpin masa depan negara ini.
Nasharudin berharap legasi yang ditinggalkan Natrah akan membantu untuk mengingatkan belia Melayu betapa mudahnya untuk jatuh dan kehilangan rahmat dan beredar ke jalan yang gelap hingga tidak boleh berpatah balik.