UKM Mantapkan Kerjasama Penyelidikan Kesihatan Dengan Universiti Jepun
Foto Abdul Raai Osman
KUALA LUMPUR, 23 Jun 2014 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan melanjutkan lagi kerjasamanya dengan Niigata University Jepun (NUJ) dalam bidang penyelidikan perubatan dan kesihatan.
Satu perjanjian persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara UKM dan NUJ di sini hari ini untuk melanjut dan mengukuhkan lagi kerjasama dalam bidang penyelidikan perubatan yang mula diusahakan sejak lima tahun lalu.
Ia juga bertujuan memudahkan lagi pertukaran pelajar dan kakitangan yang akan boleh memanfaatkan kekuatan universiti masing-masing.
Ia telah ditandatangani oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Noor Azlan Ghazali dan Dekan Fakulti Sains Perubatan dan Pergigian, NUJ Profesor Dr Tatsuo Ushiki.
Prof Noor Azlan berkata kerjasama yang lalu telah membuahkan hasil yang memberangsangkan, antaranya dua projek penyelidikan yang sedang berlangsung untuk mengkaji endemisiti kepialu di Kelantan dan kajian pemantauan demam selsema.
Kerjasama itu juga membuahkan dua penerbitan di jurnal dan beberapa lagi yang sedang berada dalam proses penerbitan.
Prof Tatsuo Ushiki berkata kedua-dua universiti berhasrat mengembangkan kerjasama yang telah terjalin itu dalam bidang perubatan yang lebih meluas.
Beliau menyebut bagaimana gandingan mereka itu telah memanfaatkan UKM dari segi kepakaran NUJ membangunkan penyelidikan dalam Sistem Maklumat Geografi (GIS) untuk kesihatan.
GIS adalah kaedah pemetaan digital (berkomputer) yang boleh mengesan lokasi di mana orang-orang tertentu, peristiwa dan keadaan berada dengan menghubungkan data ke lokasinya.
NUJ pula mendapat manfaat daripada kepakaran UKM menguruskan kesihatan komuniti dan meningkatkan kesedaran kesihatan di kalangan masyarakat bandar dan luar bandar.
Mereka juga akan bekerjasama untuk memindahkan kepakaran masing-masing kepada pelajar dan kakitangan mereka yang berkaitan.
Turut hadir pada majlis itu ialah Dekan Fakulti Perubatan Prof Datuk Dr Raymond Azman Ali dan anggota delegasi NUJ.