Bolehkah Tempoyak Menjadi Hidangan Di White House?
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman
BANGI, 4 Mac 2014 – Mungkinkah tempoyak menjadi hidangan khas Presiden Amerika Syarikat di White House pada suatu hari nanti?
Itu adalah antara cabaran yang sengaja diutarakan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Noor Azlan Ghazali kepada remaja ketika menyampaikan syarahannya atas tajukTransformasi Ekonomi Dalam Konteks Keusahawanan Belia Berdaya Saing di Persidangan Kepimpinan Belia Malaysia di sini hari ini.
Prof Datuk Noor Azlan mencabar remaja supaya menggunakan ilmu dan inovasi yang mereka mempelajari untuk merealisasikan cabaran yang mereka hadapi termasuk syor yang sengaja diutarakannya itu.
Jika usahawan negara-negara lain boleh mencipta produk yang digemari seluruh dunia, generasi baru graduan Malaysia juga dapat mewujudkan inovasi yang boleh mempopularkan hasil makanan tradisional Malaysia, katanya.
“Misalnya ketika Presiden Amerika Syarikat (AS) ingin makan tengah hari, siapa tahu beliau akan minta tempoyak?” katanya.
Prof Noor Azlan berkata pelajar-pelajar universiti dan sekolah menengah yang hadir di majlis itu patut menyahut cabaran demikian kerana segala peluang sudah disediakan untuk mencari jalan membuatkan produk-produk kita terkenal di seluruh dunia.
Ini tidak mustahil kerana beliau sendiri pernah melihat dodol dari Melaka laris dijual di Boston, Massachusetts. Dodol itu dibungkus begitu cantik dan kemas dalam pameran kedai.
“Oleh itu, belia perlu kreatif. Siapa tahu mungkin tempoyak boleh dijadikan sebagai jem untuk pasaran antarabangsa,”
Tidak mustahil tempoyak boleh berjaya menakluki White House satu hari nanti sekiranya anak muda kita sekarang berusaha gigih untuk menjayakan produk itu ke pasaran dunia. Cuma mereka perlu berfikiran globalisasi dan hebat.
Prof Noor Azlan memberi contoh petani Jepun yang berjaya menjadikan sesuatu yang mustahil pada masa dahulu untuk dilaksanakan namun kini ianya telah berjaya dilakukan sehingga berjaya membuka mata dunia.
“Dulu mana orang terfikir untuk menjadikan buah tembikai dalam bentuk empat segi dan dalam bentuk ‘asmara’ namun kini lihat bagaimana mereka telah berjaya lakukannya”, tambah beliau.
Prof Noor Azlan menggesa remaja berusaha menjadi unik hingga dapat mencipta produk lain daripada yang lain.
Persidangan Kepimpinan Belia Malaysia itu adalah anjuran bersama UKM dan Yayasan Pendidikan Cheras.
Turut menyertai persidangan itu Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Pensyarah Sains Politik UKM Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusof.