DBP: Usaha Martabatkan BM Perlu Di Tingkatkan
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Photo Izwan Azman
BANGI, 24 Mac 2014 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), khasnya Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) diseru supaya meningkatkan usaha menjadikan Bahasa Melayu salah satu pancang pembinaan negara dan bangsa.
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Awang Sariyan berkata para pemimpin negara perlu tekal dalam sikap dan pendirian mereka agar peranan Bahasa Melayu tidak lenyap ketika rakyat asyik dengan globalisasi.
Menyampaikan syarahan umumnya atas tajuk Peranan Bahasa Dalam Pembinaan Insan Dan Pembangunan Masyarakatanjuran ATMA di sini hari ini, beliau menggesa Bahasa Kebangsaan tidak dikorbankan atas nama pembangunan dan kemajuan kerana kemajuan hakiki turut meliputi keupayaan Melayu maju dalam bahasa dan landasan budaya sendiri.
Beliau menyeru semua rakyat memartabat dan memperkasakan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa ilmu.
Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa ilmu, katanya, adalah salah satu kontrak sosial yang perlu senantiasa dipertahan dan ditingkatkan.
Ini adalah suatu kewajipan kerana pembentukan Malaysia melibatkan peruntukan khas dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu Perkara 152 serta beberapa akta Parlimen, iaitu Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka serta pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan.
Ia juga ditetapkan sebagai Dasar Pendidikan Kebangsaan di mana salah satu terasnya ialah penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama.
Malangnya, kini terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hasrat itu mungkin tidak tercapai dalam masa terdekat.
“Sekarang orang bukan Melayu tidak mahu mengguna bahasa Melayu, malahan orang Melayu sendiri tidak tergalak mahu menggunakan Bahasa Melayu,” beliau mengeluh memberikan contoh usaha sesetengah pihak mahu menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar untuk mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah menengah.
Dr Awang juga perhatikan bahwa beberapa buah universiti kini sedang menuju ke arah menggunakan Bahasa Inggeris untuk kursus-kursus penting semata-mata untuk menarik pelajar antarabangsa.
“Tetapi kalau pelajar kita pergi ke universiti-universiti di Jerman atau China atau Perancis, mereka perlu melalui kursus intensif sekurang-kurangnya setahun untuk mempelajari bahasa negara-negara itu. Tetapi kenapa kita tidak berbuat demikian?” ujarnya.
Dr Awang mencadangkan media massa memainkan peranan lebih besar untuk memartabatkan Bahasa Melayu dengan menjadi teladan yang baik untuk diikuti rakyat.
Prof Dr Nor Hashimah Jalaluddin, yang baru sahaja dilantik Pengarah ATMA menggantikan Prof Dr Abdul Latif Samian yang kini adalah Felo Penyelidik Utama ATMA turut mengikuti syarahan itu.