Pelajar UKM Bantu Tanam Pohon Gaharu
By Shahfizal Musa
Pix Raai Osman
BANGI, 28 Feb 2014 – Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah bekerjasama dengan Nur Eco Resort di Ulu Yam dan Jabatan Perhutanan Selangor (JPS) untuk menanam pokok gaharu.
Pokok yang dianggap sebagai pohon termahal di dunia amat dikehendaki kerana digunakan sebagai bahan utama untuk segala jenis pewangi.
Sebatang pohon gaharu yang matang boleh dijual sehingga RM30,000 sebatang bergantung kepada mutu kayunya.
Lebih daripada 100 batang pohon gaharu di tanam oleh kira-kira 100 orang pelajar UKM di Nur Eco Resort di Ulu Yam Selangor sempena program Ekorelawan Eco-Synergy hari Ahad 23 Feb lalu. Pohon itu akan matang antara 5 hingga 10 tahun.
Program itu berlangsung dengan jayanya hasil perkongsian pintar, antara JPS yang menyediakan anak pohon gaharu, Nur Eco Resort yang menyediakan tapak dan LESTARI yang menyediakan pelajar sebagai tenaga kerja, kebanyakan daripada mereka menetap di Kolej Ibu Zain UKM.
Pohon itu akan membesar antara 5 hingga 10 tahun sebelum dapat ditebang untuk dijual. Dato’ Shaharuddin Mohamad Ismail felo LESTARI yang memimpin program tersebut menerangkan pokok gaharu adalah pokok yang tumbuh di hutan secara liar. Apa yang menyedihkan adalah pokok gaharu selalu di ambil dari hutan kerana nilainya yang tinggi
“Kenapa kita memilih pokok ini kerana mereka akan lebih berminat kerana ia mempunyai insentif yang agak lumayan. Di harapkan pokok gaharu yang tumbuh liar di hutan akan lebih terpelihara, kerana kecurian yang berlaku akan berkurangan,” kata Shaharuddin.
Program itu dianggapnya sebagai unik kerana sukarelawan yang menyertainya, atau ekorelawan akan menjadi aktivis kepada alam sekitar dan menyebarkan pengetahuan yang diperoleh kepada jaringan kenalan dan keluarga mereka.
Kemuncak program itu ialah ‘Rain Forest Discovery Journey’ berjalan dan mengenali nama saintifik tumbuhan yang ditemui dengan harapan pelajar-pelajar itu dapat melengkapkan diri dengan ilmu hingga mereka akan dapat berusaha untuk menjana pendapatan sendiri menggunakan pengetahuan yang mereka perolehi.
Selain dari pada menanam pokok yang mampu memberi sehingga RM30,000 sepohon mereka juga mengetahui bagaimana membuat sebatang rebung tumbuh sehingga 3 kali dari saiz normal.
Apa yang perlu dibuat adalah dengan hanya mengambus rebung yang sedang tumbuh. Ini akan membuat rebung itu tumbuh lebih tinggi kerana mahu mendapatkan cahaya matahari.
Shaharuddin berharap lebih ramai pelajar akan menjadil ekorelawan kerana dapat menyertai pelbagai aktiviti yang menyeronokkan.
Ekorelawan bukanlah sesuatu yang menentang pembangunan , tetapi ia adalah mengenai mempelajari ilmu yang berguna dan mengaplikasikannya untuk kepentingan semua.
Beliau juga berharap ekorelawan dapat mewujudkan generasi akan datang yang lebih bertanggung jawab terhadap alam sekitar
Turut hadir di acara itu Dato’ Mohamad Hassan Mukhtar Mohd Ali, Pemilik Nur Eco Resort yang juga Pengerusi kepada Era Mewah Sdn. Bhd.