UKM Bekerjasama Dengan Institusi Pengajian Nahdlatul Ulama Untuk Kepentingan Islam
Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Ra’ai Osman
BANGI, 28 Feb 2014 – Fakulti Pengajian Islam (FPI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan bekerjasama dengan Sekolah Tinggi Agama Islam Nahdlatul Ulama (STAINU) Jakarta menegakkan syiar Islam.
Sepucuk Surat Hasrat mengenainya ditanda tangani antara keduanya di FPI di sini hari ini. Ia ditandatangani oleh Dekan FPI Prof Dr Mohd Nasran Mohamad dan Rektor STAINU Mujib Qulyubi yang sedang dalam rangka lawatan ke FPI mengetuai suatu rombongan STAINU.
Prof Nasran mengharapkan hubungan erat dan produktif dapat dipupuk antara kedua mereka serta juga untuk keperluan hubungan lebih kukuh antara Malaysia dan Indonesia dengan memberi tumpuan pada pelajaran, penyelidikan dan aplikasi pengajian Islam .
Perkongsian idea dan pembelajaran antara satu sama lain adalah cara terbaik untuk mencari kefahaman yang lebih mendalam dari ayat-ayat Al-Quran, teks-teks Islam dan juga cara baru untuk mendekati dakwah, kata Prof Nasran.
Mujib Qulyubi berkata beliau amat gembira dengan wujudnya surat hasrat itu dan berharap dapat membina pertalian pengetahuan dan persahabatan yang kukuh di antara kedua institusi itu serta Malaysia dan Indonesia pada amnya.
Beliau berharap kedua-dua mereka dapat mempelajari banyak perkara bukan sahaja dalam bidang pengajian Islam, tetapi juga Islam dalam konteks budaya negara masing-masing. Dengan memahami budaya kedua-dua negara, ia akan membantu untuk memahami Islam seperti mana yang diamalkan oleh warganegara masing-masing.
Oleh kerana terdapat banyak persamaan dan jarak yang dekat antara Malaysia dan Indonesia, dengan agama Islam sebagai agama terbesar di kedua-dua buah negara, mereka saling bersetuju untuk mendidik, membantu dan memperkasakan umat Islam bagi kepentingan bersama.
Persefahaman itu juga boleh memastikan kedua pihak saling membantu untuk memadamkan prasangka terhadap Islam dari dunia luar, untuk membantu mempertahankan Islam serta bekerjasama dalam kajian, jurnal dan penerbitan buku mengenai Islam.