Syor Untuk Kurangkan Keracunan Makanan Di Sekolah
Oleh Athirah Abdul Aziz (Pelatih UiTM)
Pix Ikhwan Hashim
BANGI, 14 Mei 2014 – Semua peralatan memasak dan pinggan mangkuk yang digunakan di kantin sekolah perlu dibilas dengan air panas selepas dibasuh untuk mencegah kejadian keracunan makanan.
Penyelidik UKM Norul Hajar Nordin, pelajar pascasiswazah dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan berkata keracunan makanan berlaku dalam kalangan murid sekolah kerana terdapat pencemaran pada alat pengendalian makanan seperti peralatan dapur di kantin sekolah.
Demikian juga tangan pekerja yang memegang dan menghidangkan makanan yang tidak bersih boleh mencemarkan kebersihan makanan yang dihidangkan.
Norul Hajar berkata demikian ketika membentangkan kertas penyelidikan mengenai Keracunan Makanan padaPersidangan ke-4 Habitat Manusia dan Alam Sekitar di sini baru-baru ini.
Beliau berkata Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bersama mengenai Rancangan Kesihatan Sekolah atas cadangan UKM sebagai langkah untuk menangani masalah murid sekolah terus dilanda keracunan makanan.
Norul Hajar berkata pada 2011, terdapat 220 kes keracunan makanan di sekolah melibatkan sehingga 8,010 orang pelajar, maklumat angka yang mencemaskan.
Kes murid terkena keracunan terus sahaja berlaku tahun lalu di kebanyakan sekolah baik sekolah rendah mahu pun menengah. Keracunan makanan di sekolah adalah disebabkan kekotoran persekitaran kantin sekolah dan pengurusannya yang lemah.
Dalam kertas kerjanya bertajuk Garis Panduan Kantin Sekolah Untuk Hidup Lebih Baik Ke Arah Meningkatkan Kualiti Hidup Antara Pelajar Sekolah, Norul Hajar berkata sebuah buku garis panduan kantin sekolah telah disediakan oleh pasukan penyelidik UKM yang dianggotainya.
Buku itu menetapkan pelbagai panduan untuk mewujudkan persekitaran kantin sekolah yang bersih dan pengurusannya yang betul.
Garis panduan itu menetapkan pekerja kantin perlu mengekalkan kebersihan diri semasa mengendalikan makanan, terutamanya kebersihan tangan. Tangan bersih semasa mengendalikan makanan adalah penting kerana ia boleh menghalang sehingga 34% jangkitan bakteria e-coli.
Norul Hajar berkata antara cadangan lain bagi menentukan kebersihan kantin sekolah adalah kebersihan kemudahan, peralatan dan kelengkapannya serta kebersihan persekitaran kawasan makan.
Buat masa ini kantin sekolah tidak disyaratkan membilas semua peralatan memasak dengan air panas setelah dibasuh.
Kemudahan kantin, kata Norul Hajar, seperti tandas, sinki membasuh tangan dan tong sampah mesti bersih dan tidak berbau.
Persekitaran kantin seperti lantai, dinding, siling dan longkang mesti dibersihkan setiap hari kerana kawasan kerja sentiasa terdedah kepada mikro organisma patogen dan bukan patogen yang boleh menyebabkan pencemaran silang pada makanan.
Persidangan itu adalah anjuran bersama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Pusat Penyelidikan Sains dan Governans Kelestarian (SGK) Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) dan Persatuan Pengurusan Alam Sekitar (EMS).
Fellow Utama di ATMA dan pengerusi jawatankuasa penganjur, Profesor Datuk Dr Jamaluddin Md Jahi merasmikan persidangan itu.
Sesi pertama persidangan dengan tajuk Habitat Manusia dan Urus Tadbir Alam Sekitar dipengerusikan oleh Prof Madya Dr Sharifah Zarina Syed Zakaria, Felow Kanan dan Pengerusi Pusat Penyelidikan Alam Sekitar, Ekonomi dan Kelestarian Sosial (KASES), UKM.