Tindakan Perlu Untuk Tangani Masalah Simpanan Data Digital
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ra’ai bin Osman
BANGI, 23 Mei 2014 – Permintaan mendadak untuk pakar teknologi maklumat perlu dipenuhi secepat mungkin menjelang tahun 2020 kerana berlakunya lonjakan data digital bagi semua organisasi dan institusi dalam negara ini seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang memerlukan penambahan penstoran maklumat sebanyak 15,000%.
Professor Abdul Razak Hamdan dari Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM) berkata menjelang tahun 2020 UKM dijangka memerlukan penstoran sekurang-kurangnya 35 zettabyte, atau 35 billion terabyte untuk menyimpan maklumat dan menjalankan aplikasi perkidmatan dalam talian.
Ketika menyampaikan syarahan perdananya di sini hari ini bertajukKhazanah Digital: Cerdas Tuaian Cerdas Saingan, Prof Abdul Razak khuatir maklumat – yang beliau menganggap sebagai khazanah – akan hilang begitu sahaja jika tidak diselamatkan dari sekarang. Data digital perlu dimanfaatkan untuk menolong sesuatu keputusan diambil.
Penyimpanan data dalam “cloud” atau awan sahaja tidak memadai.
Beliau berkata UKM dan institusi lain harus memenuhi keperluan mendesak untuk pengurusan dan pengendalian penstoran data digital dengan mewujudkan jawatan baru seperti Ahli Sains Data sejajar dengan tugas-tugas yang genting untuk menyelamatkan maklumat.
Prof Abdul Razak berkata tanggungjawab pengurus sistem maklumat semakin berat, seperti yang berlaku di UKM kerana permintaan bertambah untuk perkhidmatan baru. Ia bukan setakat merakamkan maklumat kedatangan mengenai kakitangan atau espel sahaja.
Peningkatan aplikasi yang menguja pengguna menginput data digital menyebabkan data digital bertambah besar. Pada masa hadapan, perkhidmatan sistem dalam talian universiti akan bertambah untuk menyimpan data seperti pengukuran prestasi kakitangan akademik, analisa prestasi, pengesan sisihan dan bakat insan. Contohnya, model bakat insan adalah satu langkah yang setara dengan pemahaman pengurusan bakat dari segi kriteria bakat yang sesuai untuk sesuatu perjawatan.
Beliau mencadangkan tiga jenis khazanah digital yang dituai dengan pelbagai cara untuk membina model berkaitan yang seterusnya digunakan untuk membuat keputusan.
Khazanah digital pertama yang dituai adalah data perancangan strategik teknologi maklumat yang kemudiannya di bangun sebagai model mengukur prestasi pelaksanaan perancangan strategik teknologi maklumat.
Khazanah digital kedua yang dituai adalah laporan kewangan sebuah bank yang seterusnya dibina untuk mengesan sisihan bagi melihat prestasi bank dari segi keuntungan dan kerugian.
Khazanah digital ketiga yang dituai adalah data sumber manusia yang seterusnya dibangunkan sebagai model ramalan bakat untuk menjangka potensi seorang kakitangan, khususnya ahli akademik.
Turut hadir di syarahan perdana ini Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, yang menyampaikan ucapan pengenalan mengenai Prof Abdul Razak dan Dekan FTSM Prof Dr Abdullah Mohd Zin dan Timbalan Dekan Prof Dr Azuraliza Abu Bakar.