Belajar Untuk PhD Tidak Menghalang Tanggungjawab Pasangan Suami Isteri Kepada Keluarga
Oleh Haslina Ramlee (Pelajar Pelatih UPM)
Foto Ihsan Berita Harian
BANGI, 5 November 2014 – Pasangan suami isteri yang menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) masing-masing pada Majlis Konvokesyen ke-42 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berakhir kelmarin membuktikan bahawa mengikuti pengajian itu tidak menghalang mereka berbakti kepada anak, ibu bapa dan masyarakat.
Dr Nirwan Noh menerima ijazahnya dari Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) manakala isterinya Dr Normas binti Awang memperolehinya dari Graduate of School Business (GSB).
Ijazah mereka telah disampaikan oleh Canselor Tuanku Muhriz Ibni Al-Marhum Tuanku Munawir pada sesi pertama Konvokesyen itu sabtu lalu.
Mereka bersyukur kerana dapat menamatkan pengajian mereka serentak.
Mereka berkata pengalaman sebagai pelajar bersama selama empat tahun untuk mendapatkan PhD masing-masing, tidak menghalang mereka memikul tanggungjawab terhadap seorang anak lelaki berumur 7 tahun dan ibu bapa yang memerlukan jagaan.
Malah mereka itulah yang memberikan semangat untuk menamatkan pengajian, kata Dr Nirwan dan Dr Normas kepada Portal Berita UKM.
Berkat bantuan suaminya, Dr Normas dapat terus menjaga ayahnya yang sakit tua serta ibunya yang terlantar di hospital serta seorang kakaknya yang istimewa. Segala keperluan mereka tidak pernah diabaikan.
Malah cabaran terhebat baginya ialah waktu hendak menyiapkan penulisan akhirnya apabila ibunya telah meninggal dunia di hospital.
Pasangan suami isteri yang sama-sama berasal dari Kelantan tidak pernah menjadikan masa untuk belajar sebagai halangan untuk bergaul dengan masyarakat dan menyertai aktiviti bersama jiran.
Sokongan padu antara satu sama lain, anak yang memahami kerjaya ibu bapa, serta sifat memahami dan tolong-menolong antara mereka merupakan satu anugerah bagi pasangan ini.
Selain daripada membakar semangat untuk tidak berputus asa, ia juga merupakan satu ujian bagi mereka berdua.
Pembahagian masa tidak menjadi masalah kepada mereka, ini kerana mereka menghabiskan masa bersama dengan rutin yang sama setiap hari.
Bagi Dr Nirwan ijazah PhD yang diterimanya adalah satu hadiah yang didedikasikan kepada ibunya yang menyambut hari kelahiran pada hari beliau menerima ijazahnya itu.