Dasar Ekonomi Baru Masih Diperlukan: Prof Kamal Salih
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Pusat Komunikasi Korporat
BANGI, 2 November 2014 – Tokoh ekonomi Profesor Tan Sri Datuk Dr Kamal Mat Salih, percaya bahawa Malaysia masih memerlukan Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi mengimbangkan ketidakadilan dalam masyarakat.
Prof Kamal Salih berkata masih ada tempat bagi para pemikir, intelek dan pejuang bangsa untuk mencorakkan pembangunan ekonomi dan masyarakat Malaysia.
Beliau hari ini dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pembangunan Sosial dan Ekonomi) oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada sesi ke-3 konvokesyen ke-42 di sini.
Dalam ucapan penerimaannya Prof Kamal Salih, 68 tahun, merayu generasi dan pemikir pasca-DEB menampil diri menangani masalah ekonomi dan sosial yang sedang dihadapi negara.
DEB, katanya, kini semakin dicabar hebat memandangkan rakyat sudah memasuki era yang lebih terbuka dan adil.
Cabaran sekarang ialah menunjukkan yang DEB masih relavan ketika terdapat masalah-masalah ekonomi dan sosial berikutan perubahan pemikiran kepada cara bebas dan liberal.
Beliau berkata masih wujud gejala buruk sosial dan ekonomi yang belum dapat diselesaikan sejak DEB diperkenalkan 44 tahun lalu.
Gejala seperti rasuah belum dibendung kepada tahap yang memuaskan pada hal undang-undang lengkap untuk menanganinya memang wujud.
Ini diburukkan dengan isu seperti monopoli satu kaum, kehilangan hormat kepada pemimpin dan kesan globalisasi ekonomi yang tidak dapat dielakkan.
Beliau melihat masih terdapat ketidakseimbangan pendapatan antara isi rumah 1% tertinggi dan 40% isi rumah yang paling rendah dari segi pemilikan harta dan kekayaan.
Prof Kamal Salih bimbang melihat kuasa beli isi rumah yang masih rendah walaupun kerajaan berusaha mengembangkan ekonomi untuk mencapai status negara maju.
Begitu juga dengan kadar pengangguran, khasnya di kalangan graduan dan mutu pendidikan yang masih belum memuaskan.
Katanya cabaran-cabaran itu menjadi semakin rumit kerana golongan remaja sekarang semakin peka dengan isu-isu sosio-ekonomi dan mereka tidak segan menyuarakan pendapat atau membantah secara terang-terangan.
Keadaan ekonomi dan masyarakat yang berbilang kaum semakin terancam dengan isu ekstrimisma dan soal toleransi yang semakin terhakis serta irihati antara kaum.
Dalam pidato umum menghargai kejayaannya, Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata Prof Kamal Salih sudah lama diiktiraf oleh universiti-universiti di dalam dan luar negara sebagai pakar ekonomi ternama.
Kerjaya beliau meliputi tiga bidang utama, iaitu akademik, perkhidmatan awam dan perniagaan.
Dalam bidang akademik, Prof Kamal Salih bermula sebagai pensyarah pada tahun 1970 di University Pennsylvannia dan selanjutnya di Universiti Sains Malaysia sehingga ke tahap professor pada tahun 1980 ketika berusia 34 tahun.
Pada tahun 1982, beliau memegang jawatan Timbalan Naib Canselor (Akademik) USM sehingga ke akhir tahun 1985.
Beliau juga mendapat pengalaman kerja di sektor swasta dalam bidang perkhidmatan pengurusan hospital.