GST Kurangkan Pergantungan Terhadap Hasil Petroleum
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 25 November 2014 – Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bertujuan mengurangkan pergantungan negara terhadap cukai pendapatan dan hasil petroleum selain dapat mengatasi kelemahan yang ada pada cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Penolong Pengarah Kastam Diraja Selangor Nor Azman bin Baharom berkata GST adalah lebih cekap kerana ia boleh mengurangkan birokrasi selain meningkatkan pemantauan.
Berucap di seminar mengenai Kesan GST Dan Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan di sini hari ini, Nor Azman berkata sistem itu juga boleh dikawal selia dengan lebih mudah oleh peniaga-peniaga sendiri yang boleh melakukan ‘self-policing’.
Seminar itu dianjurkan bersama oleh Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
“GST akan menggantikan SST kerana ia adalah lebih menyeluruh sambil dapat pula mengurangkan karenah apabila ia dikuatkuasakan pada 1 April nanti. Ia juga bukanlah suatu tambahan atau cukai baru. Ia boleh dianggap sebagai usaha mengubah suai sebuah rumah lama untuk dijadikan lebih baik,” tambah beliau.
Nor Azman berkata Malaysia sebagai sebuah negara pendapatan sederhana harus menjejaki negara-negara lain yang sama taraf dalam hal pengutipan cukai. Kini sejumlah 160 buah negara telah pun melaksanakan GST, termasuk tujuh anggota ASEAN. Hanya Malaysia, Brunei dan Myanmar sahaja yang belum melaksanakan GST.
Beliau berkata Malaysia perlu memperkasakan sumber pendapatannya supaya tidak terlalu bergantung kepada hasil dari sumber asli seperti eksport minyak, gas, minyak kelapa sawit dan getah yang masih penting kepada ekonomi negara.
“Kini harga petroleum sedang menurun dan pendapatan daripadanya juga kian berkurangan. Adalah tidak wajar bagi negara terlalu bergantung kepada eksport minyak untuk menjana kewangan negara,” katanya.
Kerajaan kini tidak menerima hasil mencukupi dari cukai pendapatan kerana hanya 100,000 orang sahaja yang membayarnya.
Dalam pada itu KPDNKK juga akan bertindak untuk memastikan usaha mengaut keuntungan melampau dibendung apabila GST dilaksanakan pada 1 April nanti.
Bahagian penguatkuasaan KPDNKK Negeri Selangor sudah mengerahkan seramai 500 orang pegawai penguatkuasa untuk memantau perniagaan sebaik sahaja pengumuman mengenai GST dibuat hampir dua tahun lalu.
Wakilnya Basaruddin bin Muhyiddin berkata tindakan itu perlu kerana ada peniaga yang akan mengambil kesempatan daripada pengumuman mengenai GST untuk menaikkan harga barangan walaupun cukai itu belum pun dilaksanakan lagi.
“Ada restoran yang menaikkan harga teh tarik dengan alasan harga semua barangan sudah naik kerana GST. Apabila saya berkata GST belum pun dilaksanakan pekedai itu menjawab kononnya mereka ‘practice’ dulu. Itu hanyalah satu helah sahaja dan kita telah memberi amaran tegas,” kata Basaruddin.
Pihaknya telah menguatkuasakan akta kawalan harga dan anti pencatutan 2011 untuk mengawal aktiviti mengaut keuntungan melampau oleh peniaga disebabkan oleh pelaksanaan GST.
Mereka juga membendung manipulasi harga oleh peniaga dan memeriksa semua jenis peringkat perniagaan selain memantau harga dan caj yang dikenakan di pasar dan untuk perkhidmatan.