Kawalan Lemah Di Sempadan Telah Menjejaskan Keselamatan Negara
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman
BANGI, 11 November 2014 – Sikap acuh tidak acuh dan rasuah adalah di antara punca kenapa sempadan negara khususnya di utara semenanjung dan di Sabah mudah dibolosi hingga telah menjejaskan keselamatan negara.
Peserta Bicara Persada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) atas tajukKeselamatan Sempadan Negara: Terhuraikah Dilema? di sini hari ini bersetuju bahawa keselamatan sempadan harus ditingkatkan demi menjamin kesejahteraan negara.
Mereka berkata hasil siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin di Sabah mengesahkan kelemahan ketara demikian hingga rakyat asing yang ingin mencari pekerjaan mudah masuk walau pun tanpa izin manakala penyeludupan pula semakin meningkat.
Prof Dr Azizah Kassim dari Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) UKM berkata penyelidikannya menunjukkan bahawa rasuah berlaku secara terbuka di kawasan sempadan.
Walaupun kesalahan demikian tidak membabitkan keganasan, terdapat penyalahgunaan kuasa yang berlaku secara terbuka apabila pengawal-pengawal keselamatan tidak hadir untuk menyemak dan menyekat kemasukan orang asing.
“Kos memasuki ke mari secara sah adalah mahal sehingga RM7,8000 tetapi kosnya tidak seberapa kalau memasuki melalui sindiket haram,” kata Prof Azizah.
Beliau juga menyalahkan majikan kerana enggan mengambil pekerja tempatan tetapi lebih cenderong mengambil pendatang tanpa izin.
“Mereka amat memerlukan pekerja tidak mahir. Pendatang tanpa izin juga lebih tekun bekerja dan tidak cerewet berbanding dengan pekerja tempatan yang mempunyai banyak kerenah, kurang daya saing and asyik mahu bercuti. Pekerja asing juga tidak begitu cenderung menukar pekerjaan,” katanya.
Prof Azizah berkata pemantauan pekerja-pekerja asing amat lemah kerana tidak ada sistem untuk mendaftarkan mereka bagi mengesan siapa yang masuk ke mari.
“Kita tidak mempunyai sebarang pendaftaran (pendatang asing) dan dengan itu tidak mengetahui siapa yang masuk dan siapa yang keluar. Sepatutnya pendaftaran demikian sudah diadakan untuk menghalang pendatang duduk terlalu lama atau terus menetap di sini,” katanya.
Prof Madya Dr Noraini Ibrahim, seorang pakar bahasa gunaan di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), telah menganalisis liputan akhbar mengenai pencerobohan Lahad Datu dari Februari hingga April 2013 oleh kumpulan bersenjata dari Sulu.
Dr Noraini berkata apabila berita mula tersebar mengenai keganasan di Lahad Datu pada 12 Februari 2013, media arus perdana bahasa Inggeris di Malaysia, Filipina dan Indonesia menyiarkan laporan-laporan yang seimbang dan tidak memihak.
Tetapi apabila kejadian itu berlarutan, media tempatan menjadi semakin memihak dan menggunakan bahasa untuk membangkitkan semangat patriotik, khasnya ketika anggota keselamatan terkorban. Pada mulanya istilah penceroboh atau orang bersenjata digunakan, tetapi mereka itu kemudiannya menjadi ‘pengganas’ khususnya apabila perdana menteri sendiri tiba ke Lahad Datu untuk mendekati operasi.
Namun demikian, akhbar-akhbar utama Filipina dan Indonesia yang tidak begitu ketara cenderung terhadap mana-mana pihak, walaupun akhbar tabloid Filipina Daily Inquirer memberi ruang kepada pihak ‘Sultan Sulu’ memberi pandangannya.
Seorang penyelidik dari Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) suatu kumpulan pemikir kerajaan negeri Sabah, Anthony Kiob berkata kemasukan pendatang tanpa izin ke Sabah dengan begitu mudah dan banyak telah menimbulkan kepercayaan di kalangan mereka itu bahawa Sabah adalah milik ‘Kesultanan Sulu’.
Walaupun tuntutan itu tidak berasas kerana bukti-bukti sejarah dan undang-undang, ramai orang Sulu yang keluar masuk Sabah berpendapat mereka bukan pendatang tetapi berhak bermastautin di situ.
Kiob berkata apatah lagi ramai di kalangan mereka dialu-alukan dan menerima kad pengenalan biru, seperti didedahkan oleh RCI.
Mungkin sebab itulah kenapa penceroboh Sulu menganggap Lahad Datu milik mereka, tambah beliau.