Kerjasama Penyelidikan Antara UKM Dan Universiti Perubatan Jepun
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Pusat Komunikasi Korporat
BANGI, 1 November 2014 – Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dijangka mengeratkan lagi kerjasama dalam penyelidikan perubatan dengan Universiti Sains Perubatan Shiga (SUMS) dari Jepun.
Profesor Dr Tadao Bamba dari SUMS sedang melakukan penelitian mengenai penyakit Alzheimer dan Gastroenterologi, terutama Ekologi dengan UKM. Gastroenterologi adalah kajian perubatan dan rawatan sistem pencernaan dan penyakit-penyakitnya.
Berucap pada sesi kedua Konvokesyen ke-42 UKM setelah menerima ijazah Kehormat Doktor Sains Perubatan di sini hari ini, Prof Bamba berkata beliau berminat meneliti makanan Malaysia, yang disifatkannya sebagai sangat berlemak dan berbeza dari masakan Jepun.
Beliau memuji Fakulti Perubatan UKM dan Dekannya Prof Dato’ Dr Raymond Azman Ali kerana berusaha mengukuhkan hubungan antara kedua-dua institusi melalui penyelidikan.
SUMS juga telah menghantar lima pelajarnya ke UKM pada 2013 untuk penempatan jangka pendek dan tujuh orang lagi siswanya untuk penempatan tahun ini.
Beliau kagum dengan profesionalisme dan kualiti kakitangan UKM.
Prof Bamba memuji pelajar UKM dan meramalkan lebih banyak kerjasama antara kedua institusi itu pada masa akan datang berikutan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara mereka pada 2011.
Beliau berkata sejak itu beberapa pertukaran dua hala telah dilaksanakan kerana UKM telah dianugerahkan satu projek besar oleh kerajaan untuk bekerjasama dengan SUMS melakukan penyelidikan mengenai penyakit Alzheimer.
Prof Bamba, seorang pakar dalam Gastroenterologi, berkata hasil kajian mengenai peranan mikrobiota usus yang mempunyai kesan menentang patogenesis penyakit seperti Obesiti dan Diabetes telah banyak diterbitkan.
Pada masa yang sama, kerjasama antara Jabatan Kejururawatan kedua-dua universiti itu juga telah bermula secara bersungguh-sungguh.
Prof Dr Bamba memperolehi ijazah perubatan (MD) pada tahun 1964 dan memperolehi PhD dari universiti yang sama tiga tahun kemudian.
Kajiannya mengenai sistem pencernaan telah membawanya ke Guys dan St Thomas Hospital di Britain.
Beliau telah menjalankan penyelidikan mengkhusus kepada penyerapan usus, penyakit radang usus dan nutrisi klinikal.