Kerjasama Penyelidikan Farmasi Dengan UGM
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 20 November 2014 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan bekerjasama dengan Universitas Gadjah Mada (UGM) Indonesia dalam pelbagai bidang termasuk penyelidikan, penganjuran bengkel dan persidangan.
Suatu Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani di sini hari ini bagi membolehkan kerjasama demikian.
Dekan Fakulti Farmasi Profesor Dr Ibrahim Jantan yang mewakili Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali yang tidak dapat hadir menandatanganinya bagi pihak UKM dengan Dekan Fakultas Farmasi UGM Prof Dr Subagus Wahyuono.
Berikutannya kedua universiti akan melaksanakan program bersama merangkumi penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran, penerbitan serta khidmat masyarakat.
Perjanjian itu adalah suatu pencapaian antara mereka berikutan perbincangan di UGM semasa lawatan suatu rombongan Fakulti Farmasi UKM ke UGM di Yogyakarta pada bulan Januari lalu.
Prof Ibrahim dalam ucapannya berterima kasih kepada sarjana Indonesia amnya yang telah membantu merintis program-program Sains dan Perubatan di UKM pada awal penubuhannya di tahun-tahun 1970an sambil berharap kerjasama kedua universiti itu akan dapat dilestarikan melalui program-program yang lebih besar.
Prof Subagus pula menyatakan hubungan antara mereka mencerminkan kaitan rapat Indonesia dan Malaysia dalam ASEAN.
Beliau menyifatkan jalinan itu sebagai suatu kesempatan yang baik bagi pertukaran kakitangan akademik dan pelajar prasiswazah serta pascasiswazah sambil mendapat faedah daripada pembentukan Komuniti Ekonomi ASEAN tahun depan yang akan diterajui oleh Malaysia.
Timbalan Dekan (Graduan, Penyelidikkan & Inovasi) Prof Madya Dr Jamia Azdina Jamal; Ketua Pusat Kecermelangan Dr Nur Akmar Taha dan Penyelaras E-Pembelajaran Dr Ng Shiow Fern di Fakulti Farmasi dan Penyelaras Citra (Keusahawanan) Prof Madya Dr Ahmad Fuad Shamsuddin dan Timbalan-timbalan Dekan Fakultas Farmasi UGM, Dr Hilda ismail dan Dr Satibi telah hadir di upacara itu.