Kolej Keris Mas Menjuarai Pertandingan Seni Di Pesta Konvokesyen UKM Ke-42
Oleh Haslina Ramlee (Pelajar Pelatih UPM)
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 4 November 2014 – Kelainan yang dilakukan pada Pesta Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun ini berjaya menarik perhatian ramai pelajar dan orang luar untuk mengunjunginya.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UKM Prof Datin Noor Aziah binti Mohd Awal berkata penganjuran Pesta Konvokesyen itu telah dapat menarik ramai pelajar menyertainya selain melatih dan memberi pengalaman kepada mereka melaksanakan pelbagai program siswa.
Beliau telah menutup pesta itu di Dataran Gemilang malam tadi. Majlis itu berlangsung dengan penuh warna-warni termasuk pertandingan Pesta Seni Antara Kolej Kediaman (ICAF).
Pesta Konvokesyen kali ini disambut meriah dengan tema “Inspirasi Pemangkin Inovasi” bertujuan melahirkan mahasiswa yang berinspirasi serta mencetuskan idea ke persada dunia.
Pertandingan akhir ICAF, suatu acara tahunan UKM diadakan sebagai salah satu usaha pusat kebudayaan untuk memberi peluang kepada warga kampus melibatkan diri dalam kegiatan seni dan budaya.
Sebanyak 18 jenis pertandingan kebudayaan telah diadakan melibatkan semua kolej termasuk pertandingan teater, boria, tilawah al-Quran, bola jaring dan beberapa acara pertanding lain.
Kolej Keris Mas yang mengutip markah terbanyak muncul sebagai johan keseluruhan pertandingan diikuti Kolej Tun Hussein Onn di tempat kedua dan Kolej Tun Dr Ismail Ismail ketiga.