Pantun Melayu Telah Ubah Peranan Tetapi Semakin Popular

AHAD, 30 NOVEMBER 2014 16:41

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 27 November 2014 – Pantun Melayu semakin popular hingga digunakan dalam bidang yang asalnya bukan menjadi tujuan ia dicipta.

Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Dr Ding Choo Ming berkata malahan teknologi digital terkini menggunakan pantun dalam banyak bidang seperti kempen politik, penyebaran maklumat dan bidang komersil seperti iklan.

Beliau yang menyampaikan wacana bertajuk Penghijrahan Orang dan Penyebaran Pantun di Kepulauan Melayu, di sini hari ini berkata peranan pantun sekarang amat berlainan sekali daripada tujuan asalnya iaitu untuk meluahkan perasaan duka nestapa, riang gembira, kasih sayang dan dendam berahi.

Bagaimanapun suasana penduduk di Nusantara yang semakin celik huruf dan pintar komputer telah mengubah peranan pantun yang dahulunya dicipta untuk memaparkan perasaan kepada suatu kaedah di mana ia menjadi bahan yang diperdagangkan.

“Berikutan hilangnya budaya lisan, semakin banyak pantun kini terdapat dalam bentuk bertulis, cetakan malahan digital. Ini membuatkan versi pantun bertulis mempengaruhi versi pantun lisan yang lebih bayak dihafal sebelumnya. Maka kesinambungannya pada masa kini semakin kuat bergantung kepada penulisan dan percetakan,” kata Prof Ding.

Beliau percaya kedudukan pantun sekarang lebih penting daripada Gurindam, Syair dan Seloka yang telah muncul lebih lewat dari segi kronologi dalam sejarah tamadun Melayu.

Puisi yang disebut pantun orang Melayu di sebar ke Brunei, Indonesia, Pattani, Riau, Singapura dan Selatan Filipina selain Malaysia. Di Jawa ia dipanggil Parikan, di Sunda dan lain-lain tempat – Sesindiran.

Prof Ding berkata pantun tersebar luas di Alam Melayu dengan dikelilingi variasi pantun yang berkongsi strukturnya yang sama: ada pembayangnya dan maksud, selain ada rima a-b-a-b di suku akhir baris 1 dan 3, 2 dan 4.

Demikian juga fungsinya untuk menghiburkan, pendidikan, perayaan dan melamar serta meminang.

Penghijrahan orang berumpun Melayu telah membuat pantun dan variasinya tersebar dari satu tempat ke tempat lain sekali gus menjadikannya seni Melayu yang amat kaya.

Beliau percaya di banyak tempat di Alam Melayu ada pantun dan variasinya. Ia adalah sebahagian daripada sastera lisan yang diperturun dan disebarkan secara lisan pada mulanya.

Maka pantun boleh dijumpai dalam Cerita Rakyat, Cerita Jenaka, Penglipur Lara, selain karya bertulis Hikayat Hang Tuahdan Sejarah Melayu.

Beliau memberi satu contoh Pantun Klasik 4 kerat yang dikarangnya:

Sakit kaki ditikam jeruju
Jeruju ada di dalam paya
Sakit hati memandang susu
Susu ada di dalam kebaya

Prof Ding berkata walaupun belum diketahui sumber asal pantun dari segi sejarah atau geografi, “kita tertarik bukan sahaja dari jumlahnya yang besar, tetapi juga dengan penyebarannya di seluruh Alam Melayu yang sudah terbahagi kepada Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura dan lain-lain berikutan campur tangan politik penjajah Eropah.

Prof Ding Yang sudah berkhidmat di UKM sejak tahun 1972 adalah di antara pengasas portal ATMA www.malaycivilization.ukm.my pada tahun 2002.

Cogan kata hidup beliau adalah “nothing comes from nothing” dan “have confidence in confidence” daripada filem The Sound Of Music.