Pejuang Bahasa Melayu Untuk Sains Dan Matematik Yang Tidak Kenal Penat
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Pusat Komunkasi Korporat
BANGI, 3 November 2014 – Penggunaan Bahasa Melayu dan pembelajaran Islam untuk bidang Sains dan Matematik boleh memudahkan kefahaman konsep-konsep ilmu itu jika dibandingkan dengan penggunaan Bahasa Inggeris.
Profesor Dr Shahrir Mohamed Zain berkata banyak prinsip matematik dan sains dihasilkan oleh ilmuwan yang bertutur Bahasa Arab.
Beliau yang dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus pada sesi ke-6 Konvokesyen ke-42 Universiti kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini berkata bidang Matematik dan Pengislaman Ilmu merupakan di antara bidang-bidang yang sangat beliau minati.
Prof Shahrir yakin ummah yang mendalami Islam melalui Bahasa Arab akan lebih senang memahami matematik.
Beliau berkata pada masa lampau ramai orang Melayu menolak matematik kerana ia diajar dari kaca mata barat, khasnya Bahasa Inggeris di negara ini.
Bagaimana pun dengan pengamalan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu, keadaan kini kian berubah.
Walaupun terlatih dalam bidang matematik tulen (fizik kuantum) Prof Shahrir, mantan Profesor Matematik di UKM, juga giat memperjuangkan Bahasa Melayu dan Pengislaman Ilmu sepanjang kariernya.
Beliau mahir dalam bidang falsafah sains Islam, etnomatematik, bahasa, teori pengurusan dan juga bidang-bidang lain selain dari bidang hakikinya matematik ia itu sub-bidang fizik kuantum.
Beliau terkenal kerana lantang bersuara dan merupakan seorang ahli akademik yang berkemahiran tinggi serta muncul sebagai anak Melayu pertama memperolehi PhD dalam bidang matematik.
Berkelulusan University La Trobe di Australia (1967-1974), Prof Shahrir memperoleh ijazah Doktor falsafah di universiti itu juga dalam bidang matematik kuantum.
Beliau gigih memperjuangkan pengajaran dan pembelajaran dalam Bahasa Melayu di peringkat sekolah hingga ke universiti dan adalah diantara tokoh yang masih mempertahankan penggunaannya pada subjek-subjek teknikal di UKM sehingga ke hari ini.
Beliau pernah memegang jawatan Ketua Jabatan Matematik pada tahun 1974 dan kemudian dinaikkan pangkat ke jawatan Profesor Madya pada tahun 1979 dan Profesor Fizik Matematik pada tahun 1983.
Beliau seterusnya di lantik sebagai Pengarah Pusat Pengajian Kualitatif pada tahun 1984 dan pada tahun 1991 menyandang jawatan Timbalan Naib Canselor (Akademik).