Tuanku Muhriz Felo Kehormat Aberystwyth University
Oleh Shahfizal Musa
Foto Ikhwan Hashim & Raai Osman
BANGI, 8 November 2014 – Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini dianugerahkan Felo Kehormat Aberystwyth University (AU) Wales Britain sebagai pengiktirafan pengalaman baginda yang luas dalam perkhidmatan awam, sektor korporat dan dedikasinya sebagai seorang Ketua Negeri.
Majlis penyerahan itu berlangsung di UKM di sini hari ini disampaikan oleh Naib Canselor AU Professor Dr April Mcmohan.
Prof Mcmohan dalam ucapan penyerahannya berkata gelaran felo kehormat itu luar biasa kerana hanya beberapa universiti sahaja di United Kingdom layak mengeluarkan anugerah ternama demikian.
Anugerah itu adalah juga kali pertama ia dilakukan di luar UK semenjak penubuhan AU pada tahun 1872.
Tuanku Muhriz adalah alumni AU dan juga penaung diRaja bagi Kelab Alumni AU Malaysia. Baginda pernah mengikuti program undang-undang dan menerima ijazah undang-undang dengan kepujian dari AU.
Dalam ucapan penerimaannya, Tuanku Muhriz berkata baginda telah belajar prinsip undang-undang penting yang berasal dari konsep moral yang lebih luas di universiti itu.
Baginda bertitah adalah tugas semua orang untuk menegakkan keadilan dan akhlak yang mulia dengan mengimbau suatu kisah yang baginda dengar dari suatu khutbah Jumaat mengenai rasuah.
Seseorang itu mesti jujur pada dirinya apabila berdepan dengan konflik kepentingan. Mereka seharunya bertindak dengan adil. Ini termasuk menolak hadiah atau bantuan walaupun kecil yang mungkin boleh mempengaruhi keputusan mereka.
Tuanku Muhriz yang juga Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan sebelum ini telah pun menerima Ijazah Doktor Kehormat dari University of South Wales yang dulunya dikenali sebagai University Glamorgan.
Turut hadir di upacara itu Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tengku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, Naib Canselor UKM Profesor Datuk Dr Noor Azlan Ghazali serta delagasi dari AU.