UKM Menerima Bantuan USAID Untuk Projek Belia Asean
Oleh Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 26 November 2014 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diberi bantuan sejumlah US$1.425 juta untuk melaksanakan program sukarela untuk belia ASEAN (AYVP) selama tiga tahun bermula dari tahun hadapan.
Dana itu akan digunakan untuk program sukarela di negara-negara ASEAN untuk membolehkan beratus pelajar mereka mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya 75 projek sukarela.
UKM akan bertindak sebagai urusetia dan bergiat aktif dalam memberi pendedahan kepada belia yang mengambil bahagian dalam kerja sukarela di bawah program itu.
Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Professor Dr Imran Ho Abdullah berkata AYVP adalah satu platfom di mana belia di rantau ini dapat menyumbang bakti kepada masyarakat Asean sambil mengasah potensi kepimpinan mereka.
Melalui AYVP, belia di negara ASEAN dapat berbakti menolong masyarakat setempat menghadapi masalah mereka secara lebih berinovatif.
Program itu juga akan mendedahkan belia kepada masalah yang dihadapi pelbagai masyarakat di negara-negara Asean dan akan membentuk mereka menjadi pemimpin yang prihatin dan berkebolehan.
Duta Amerika Syarikat ke ASEAN Nina Hachigian berkata AYVP boleh menjadi alat untuk mengeratkan rakyat ASEAN.
Amerika Syarikat, katanya, mempunyai kepentingan untuk memastikan keselamatan dan keamanan di rantau Asia dapat dikekalkan dan ASEAN pula adalah baik bukan sahaja untuk kepentingan negara-negara ASEAN tetapi juga baik untuk AS dan dunia.
Timbalan Pengarah USAID Asia Carrie Thompson kemudiannya telah menyerahkan sijil perakuan bantuan itu kepada Prof Imran.
Setiausaha Bahagian Antarabangsa, Kementerian Belia dan Sukan Encik R. Effendi Razali turut hadir di perjumpaan itu.