UKM Menjuarai Kriket Universiti Antarabangsa Buat Kali Ke-3
Oleh Suhaimi Suliman (Pegawai Belia dan Sukan UKM)
Foto Ikhwan Hashim
KLANG, 15 November 2014 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya mencipta sejarah menjuarai Kejohanan Kriket Jemputan Universiti Antarabangsa ke-7 untuk kali ketiga berturut-turut di Bayuemas Oval di sini hari ini.
Ia telah menewaskan Christ University dari India pada perlawanan akhir dengan empat wiket.
Memenangi undian Christ University memilih untuk memukul dahulu dan berjaya mengumpul 103 larian dalam 39.3 overs. Pasukan UKM yang dikemudi Kapten Malaysia, Ahmad Faiz Mohammad Noor cukup yakin apabila turun memukul dan berjaya melepasi larian 103 pada over yang ke 20 untuk menangi dengan kelebihan empat wiket.
UKM membawa pulang wang tunai US$3,000 dan piala manakala Christ University berpuas hati dengan US$2,000. Tempat ketiga dimenangi oleh Sir Syed University of Engineering & Technology dari Pakistan yang membawa pulang US$1,000.
Kejohanan kali ini turut disertai universiti dari Pakistan, Indonesia, Sri Lanka dan Bangladesh.
Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri & Masyarakat) Prof Dr Imran Ho Abdullah telah mewakili Naib Canselor UKM menyampaikan hadiah. Turut hadir Naib Yang Pertua Persatuan Kriket Melayu Malaysia, Dato’ Mir Shahariman Mir Shaharudin, Ahmad Khuzaimi Bahri, dari Bahagian Sukan, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Dr Tajul Arifin Muhamad, Pengarah Pusat Sukan UKM.