Pelajar ASEAN Perlu Kenali Rakyat Jiran Mereka
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Abd Ra’ai Osman
BANGI, 13 Ogos 2014 – Warga Asia Tenggara perlu mengenali dan mengetahui dengan lebih mendalam rakyat negara-negara jiran mereka dengan melakukan kerja-kerja amal di rantau ini.
Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Datuk Dr Noor Azlan Ghazali menggesa mahasiswa dari universiti-universiti ASEAN memberi tumpuan lebih untuk menjelajahi rantau ini daripada bertandang ke Eropah atau Amerika Syarikat.
Beliau memberi nasihat itu ketika menyambut lima puluh orang peserta Program Sukarelawan Belia ASEAN (AYVP), yang bertemakan Memelihara Warisan ASEAN 2014, di UKM di sini hari ini.
Prof Noor Azlan berkata ramai orang di ASEAN kurang mengetahui negara jiran mereka sendiri tetapi lebih mengenali Amerika Syarikat daripada ASEAN. “Saya telah melawat kebanyakan negara-negara ASEAN dan yakin bahawa kita mempunyai lebih banyak persamaan daripada perbedaan.”
“Terdapat pertalian yang mengaitkan kita bersama dalam keadaan pelbagai budaya dan bahasa di rantau ini”, katanya. Cara terbaik bagi remaja yang penuh tenaga dan rasa ingin tahu untuk mendalami jiran mereka adalah dengan melihat sendiri pelbagai gaya hidup serta menyumbang tenaga mereka membantu orang yang kurang bernasib baik.
Prof Noor Azlan berkata sebagai bakal pemimpin masa depan negara mereka masing-masing dan dengan pengalaman yang mereka menimba melalui AYVP akan memberi peluang kepada mereka memahami dan bersikap adil terhadap rakyat rantau ini.
Bagaimana masa depan ASEAN akan ditentukan bergantung kepada muda mudi seperti mereka yang akan menjadi pemimpin kelak, katanya. Beliau mengingatkan bahawa Komuniti Ekonomi ASEAN akan berkuatkuasa pada tahun 2015 nanti.
Timbalan Naib Canselor (Hak-Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat) Prof Dato’ Dr Saran Kaur Gill yang juga Pengarah Eksekutif AYVP @ AsiaEngage berkata projek demikian yang melibatkan masyarakat memberi peluang tidak ternilai kepada siswa terlibat menggunakan pengetahuan teori mereka untuk memenuhi keperluan dunia sebenar.
Program lima minggu dari 11 Ogos hingga 12 Sep nanti menyaksikan siswa sukarelawan itu melalui sesi persediaan selama tujuh hari untuk mengenali intipati program itu di UKM, tiga minggu menjalani aktiviti kesukarelawanan di dua tapak warisan, seminggu di Kuala Lumpur dan dua minggu di Melaka.
Ia berakhir dengan sesi penilaian selama seminggu yang diakhiri dengan sambutan besar-besaran di UKM pada 12 Sep nanti.
Program itu mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan dengan dibiayai Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Urusetia ASEAN dengan kerjasama strategik Universiti Malaya dan Pejabat Warisan Dunia Melaka.