UKM Jalankan Penyelidikan Sistem Penjadualan Keretapi Lektrik
Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 18 Ogos 2014 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menjalankan penyelidikan dan mengesyorkan sistem penjadualan perkhidmatan keretapi letrik antara Ipoh dan Padang Besar.
Suatu Memorandum Perjanjian (MoA) telah ditandatangani di sini hari ini bagi membolehkan UKM menjalankan kajian itu.
Ia ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi) Prof Dato Dr Mazlin Mokhtar bagi pihak UKM dan Pengarah KTMB Dato Ir Hj Nawawi Haji Ahmad di sini hari ini. Dekan Fakulti Sains dan Teknologi (FST) Prof Dr Sahrim Hj Ahmad dan Presiden KTMB Datuk Elias Kadir menjadi saksi perjanjian itu.
Projek landasan letrik itu dijangka siap pada akhir tahun ini dan akan beroperasi pada suku pertama 2015. Projek RM13 bilion itu kini sudah 95% siap dengan hanya sistem elektrik dan sistem kawalan isyarat yang masih belum dipasang.
Prof Mazlin berkata kerjasama itu adalah selaras dengan usaha UKM untuk memasyarakatkan kajian dan penyelidikannya dengan membantu KTMB membangunkan sistemnya.
UKM akan membantu mengesyorkan sistem penjadualan keretapi dan simulasi berdasarkan maklumat sedia ada dan input kajian pasaran yang akan dijalankan oleh pasukan penyelidikan UKM.
Beberapa aktiviti penyelidikan akan dijalankan termasuk kajian pemasaran kereta api penumpang serta kargo, pembangunan beberapa model operasi serta sistem penjadualan yang lebih baik dengan menggunakan sistem simulasi dan mengesyorkan jumlah maksimum operasi keretapi penumpang dan kargo untuk landasan berkembar itu dengan menggunakan aset sedia ada.
UKM juga akan mengemukakan syor penambahbaikkan operasi KTMB mengenai proses pengendalian terminal dan penggunaan infrastruktur landasan berkembar secara maksimum.
Prof Mazlin berkata operasi keretapi letrik itu nanti akan mengukuhkan keupayaan sistem keretapi negara dengan menyediakan perkhidmatan yang lebih cepat, memudahkan perjalanan antara bandar selain mengurangkan penggunaan pengangkutan jalan raya.
Malaysia juga akan cuba untuk mengurangkan pelepasan karbon dan bergerak ke arah meningkatkan penggunaan pengangkutan awam yang juga baik untuk pemeliharaan persekitaran.
“Dengan kepakaran, pengalaman dan kemahiran akademik yang dimiliki oleh UKM, saya percaya keputusan penyelidikan ini akan memberi manfaat bukan sahaja kepada KTMB tetapi juga kepada negara di mana ia akan membawa manfaat kepada industri yang berkaitan termasuk pembuatan, pelancongan dan pendidikan antara lain, kata Ir Nawawi.