Biografi Prof Ishak Shari Di Lancar
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman
BANGI, 10 Oktober 2014 – Buku mengenai riwayat hidup Prof Ishak Shari (1948-2001), salah seorang cendekiawan dan pakar ekonomi terkenal Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menyelidik kemiskinan dan peminggiran dalam masyarakat Malaysia, dilancarkan hari ini.
Biografi bertajuk Ishak Shari, Pejuang Bumi Semua Manusia diterbitkan oleh Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS). Ia dilancarkan oleh Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Emeritus Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid yang juga Penasihat Sains Perdana Menteri.
Pelancaran buku setebal 310 halaman itu mengenai Prof Ishak bekas pengarah IKMAS, disaksikan oleh balu Allahyarham, Rashidah Mohd Dali dan anak sulung mereka Adi Suria Ishak.
Turut hadir Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, pengarang biografi itu Dr Muhammad Salleh Lamry, Pengarah IKMAS Prof Dr Rashila Ramli dan Prof Emeritus Dato’ Dr Abdul Rahman Embong, Felo Utama IKMAS yang menyampaikan pengenalan buku itu.
Sasterawan Negara Prof Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh telah mendeklamasi sebuah puisi mengenang jasa-jasa Prof Ishak bertajuk Sarjana dan Penawar.
Berlatar belakangkan keluarga yang miskin dan dibesarkan dalam era negara mencapai kemerdekaan, beliau memasuki dunia akademik dengan komitmen yang mendalam dan berterusan untuk memenuhi visinya terhadap masa depan negara yang dapat dikongsi semua dengan adil dan saksama.
Prof Ishak menerap suasana intelektual dan politik pada tahun-tahun 1960an dan awal 1970an. Beliau juga adalah salah seorang pemimpin pelajar yang aktif membantu menentukan ufuk moral dan intelektual politik pelajar Malaysia di England waktu itu.
Integriti moral dan pandangan intelektual dalam usahanya memperjuangkan kedudukan sosial rakyat miskin tidak pernah meninggalkan beliau sepanjang kerjayanya yang cemerlang.
Tumpuan kajian PhD beliau adalah mengenai kemiskinan di sektor perikanan tradisional yang mencerminkan kehidupan dan kedudukan sebenar mereka dalam sebuah negara sedang membangun. Sepanjang hidupnya, komitmennya kepada golongan miskin dan terpinggir telah memberi inspirasi kepada usahanya dalam pengajaran, penyelidikan dan penulisan.
Menyedari perubahan keadaan dunia dan negara ketika itu, beliau menarik perhatian kepada isu-isu ketidaksamaan dan juga memberi pandang berat terhadap perkembangan global yang mahu menerapkan pandangan neo-liberalisme dan liberalisasi ekonomi tanpa batas ke atas negara membangun.
Tan Sri Zakri dalam ucapannya menyifatkan biografi itu berjaya mencerminkan pemikiran dan ideologi serta pandangan peribadi Ishak terhadap ketidakadilan, kemiskinan dan ketidaksamaan yang berlaku dalam masyarakat.
“Ia juga merupakan satu wadah pembacaan yang menarik yang mengisahkan latar belakang keluarga, sejarah pendidikan, perkhidmatan dan pemikiran Ishak sebagai seorang tokoh ilmuwan,” tambah beliau.
Prof Abdul Rahman pula berkata Prof Ishak adalah seorang insan istimewa yang memiliki sifat pemimpin yang harus menjadi teladan kepada masyarakat khususnya golongan muda.
“Seperti yang dinyatakan dalam biografi ini, Ishak merupakan seorang sarjana, pemikir dan intelektual yang telah memberi sumbangan penting kepada bidang pendidikan serta pembangunan negara melalui peranannya semasa bertugas baik di dalam mahupun di luar UKM.
“Biografi ini turut memaparkan Ishak sebagai insan yang sentiasa ceria dan senang ketawa. Beliau juga seorang yang berfikiran terbuka, sahabat setia, suami yang prihatin serta seorang bapa yang boleh menjadi teladan terbaik,” katanya.
Anak Allahyarham Adi Surya melahirkan rasa terkejut apabila beliau menyemak draf biografi tersebut dan mendapati bahawa walaupun bapanya seorang yang serius dalam kerjayanya, tetapi juga mudah berceloteh dan bergurau dengan rakan sekerja.
Beliau juga mengungkapkan detik-detik akhir bapanya yang antara kata-kata akhirnya adalah: Saya tidak ada banyak masa lagi. Saya tahu bahawa saya akan pergi. Terima kasih untuk segala-galanya dan saya mungkin tidak ada lagiselepas ini.
Biografi Ishak Shari, Pejuang Bumi Semua Manusia mengandungi 31 bab dan terbahagi kepada tujuh bahagian di samping memaparkan 58 keping gambar.