Hospital UKM Dinamakan Hospital Canselor Tuanku Muhriz
Oleh Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi
KUALA LUMPUR, 14 Oktober 2014 – Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) telah diberi nama Hospital Canselor Tuanku Muhriz sempena nama Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus.
Tuanku Muhriz Tuanku Munawir adalah Canselor UKM dan telah hadir di upacara itu.
Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali yang membuat pengumuman itu di majlis Penamaannya hari ini berkata ia menjadikannya satu-satunya hospital pengajar yang diberi nama Di-Raja.
Hospital Canselor Tuanku Muhriz telah mencapai banyak kejayaan dalam bidang perubatan seperti pembedahan dan rawatan yang terkini serta memperkenalkan kaedah rawatan terbaru dalam kejuruteraan tisu.
Antara kejayaan yang telah mendapat perhatian adalah pembedahan otak secara sedar oleh pakar dari unit Neurologinya, kaedah terbaru rawatan kecederaan kulit dengan menghasilkan kulit gentian dan suatu lagi pembedahan otak untuk merawat penyakit Parkinson menggunakan kaedah brain stimulation.
Keadah ini dapat meredakan simpton pesakit Parkinson dengan ketara serta mengurangkan pergantungan pesakit kepada ubat.
Turut hadir di majlis itu adalah Pro Canselor UKM Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM Prof Emeritus Dato’ Dr Mohamad Zawawi Ismail serta Pegawai-Pegawai Kanan UKM dan pelajar.