Integriti Harus Bermula Dari Atas Kata Tokoh Korporat
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Abd Ra’ai Osman
BANGI, 20 Oktober 2014 – Integriti dalam sektor swasta mesti bermula dari pemimpin manakala pekerja yang jujur harus dihargai.
Ahli lembaga korporat veteran Dr Loh Leong Hua berkata cara kontrak besar diberikan kepada syarikat perlu lebih telus dan terbuka untuk mencegah kejadian rasuah.
Ketika menyampaikan syarahan di Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (GSB) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini, Dr Loh seorang alumni UKM, berkata pimpinan korporat perlu menjadi teladan baik dalam urusan perniagaan mereka.
Dalam syarahannya bertajuk Integriti: Meningkatkan Kualiti Dalam Organisasi, beliau berkata pekerja syarikat sering memerhatikan tingkah laku ketua-ketua mereka.
Dr Loh Leong ialah Pengarah Bebas Bukan Eksekutif WTK Holdings dan juga ahli Lembaga Pengarah Jawatankuasa Risiko Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC). Beliau adalah juga anggota Lembaga Pengarah YFG Berhad, sebuah syarikat yang disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia dan juga Broker Insurans Transnasional (M) Sdn Bhd.
Beliau berkata cara pengurusan atau ketua pegawai eksekutif memimpin syarikat akan mempengaruhi kelakuan pekerja.
“Jadilah contoh. Jangan hanya bercakap sahaja mengenai integriti. Mereka perlu melakukan lebih dari sekadar bercakap sahaja tetapi dalam pada itu memberi penghargaan kepada orang yang jujur,” tegas beliau.
Kejujuran bukan sahaja mendukung prinsip moral yang kukuh dalam perniagaan tetapi juga boleh menjadikan syarikat lebih produktif.
Beliau yakin sistem tender terbuka dan bukannya secara rundingan terus adalah cara terbaik memilih syarikat untuk melaksanakan sesuatu projek. Bagaimana pun projek yang membabitkan keselamatan negara atau boleh menjejaskan harta intelek boleh dilakukan secara runding terus.
Beliau juga menyatakan kebimbangannya kerana wujud individu atau syarikat yang gagal mendapatkan pinjaman bank melalui peraturan biasa tetapi mempunyai saluran lain untuk mendapatkannya malah pinjaman yang lebih besar daripada bank lain.
“Tidak boleh mendapat RM4 juta, tetapi boleh mendapat RM40 juta. Itu adalah kes pinjaman bank secara langsung membabitkan sebuah syarikat senaraian awam sebelum krisis kewangan Asia 1997-1998,” katanya.
Beliau menerangkan terdapat syarikat bermasalah dengan nilai saham merosot tetapi telah berjaya mengubah trend apabila menerima pinjaman besar.
“Mereka boleh pula mendapatkan pinjaman sehingga RM200 juta hingga membuatkan nilai saham telah naik dari RM1 hingga RM28,” katanya.
Beliau memuji Petronas sebagai sebuah syarikat contoh yang mempunyai tadbir urus korporat yang baik dan berintegriti hinggakan ia tidak mahu kakitangannya menerima atau memberi hadiah atau buah tangan semasa musim perayaan.
Dr Loh berkelulusan PhD dari UKM dalam bidang Pengajian Pengurusan dengan memberi tumpuan kepada amalan lembaga korporat. Beliau juga berkelulusan Program Pengurusan Lanjutan (AMP) dari The Wharton School of Business, University of Pennsylvania, Amerika Syarikat.
Beliau berpengalaman lebih dari 30 tahun dalam industri perkhidmatan kewangan bekerja untuk beberapa kumpulan perbankan dalam pelbagai jawatan pengurusan kanan yang melibatkan perdagangan, korporat, perbankan saudagar dan pelaburan.
Prof Madya Noor Azzudin Yakob dari GSB telah menyampaikan pengenalan mengenai Dr Loh.