Perdagangan Bebas Dan Pencelahan Perlukan Perseimbangan
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi
GONG BADAK, TERENGGANU, 18 Oktober 2014 – Keseimbangan perlu wujud antara Perdagangan Bebas dan Campur Tangan Kerajaan bagi membolehkan Malaysia bergerak ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi dalam tempoh enam tahun akan datang.
Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob berkata persaingan terbuka perlu digalakkan bagi membolehkan perniagaan dapat terus berkembang.
Bagaimanapun pihak berkuasa mungkin perlu campur tangan untuk menghalang segelintir peniaga menguasai pasaran, tambah beliau.
Bercakap ketika memberi ucaptamanya pada Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia (PERKEM) Ke-9 2014 di sini hari ini, Dr Sulaiman berkata Malaysia perlu mewujudkan undang-undang perdagangan adil kiranya tadbir urus korporat yang baik dikehendaki menjadi kenyataan menjelang tahun 2020.
Tema persidangan itu adalah Urus Tadbir Ekonomi Yang Adil: Ke Arah Ekonomi Berpendapatan Tinggi.
Sulaiman, bekas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri dan kini Pengerusi Jambatan Kedua Sdn Bhd menjelaskan bahawa Tadbir Urus dan Integriti yang baik amat penting untuk sektor swasta kiranya mahu dianggap mempunyai kredibiliti dalam urusan dengan kerajaan.
Taraf perdagangan tinggi dan perniagaan yang adil adalah penting untuk Malaysia jika ia mahu mencapai status negara maju.
Dr Sulaiman menjelaskan bahawa penswastaan entiti milik negara sepatutnya diselia oleh tadbir urus korporat yang berwibawa, tetapi ia tidak wujud.
Terdapat juga lain-lain aspek tadbir urus yang perlu ditangani seperti piawaian perniagaan, perlindungan pengguna dan kawalan harga.
Apabila penswastaan utiliti seperti Telekom dan lebuh raya bermula tiga puluh tahun yang lalu, peraturan kawal seliaan belum diperkenalkan.
“Kita mungkin mempunyai infrastruktur dunia pertama, tetapi kita mempunyai mentaliti dunia ketiga. Pihak berkuasa tidak bersedia, undang-undang tidak bersedia tetapi pemimpin-pemimpin kita bertindak tergesa-gesa (untuk menswastakan pada 1980-an), ” katanya.
Walaupun disyorkan berkali-kali sejak awal 1990-an, Malaysia tidak mempunyai apa-apa undang-undang anti-persaingan sehingga 2010 apabila Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) ditubuhkan. Peranan utamanya ialah untuk melindungi proses persaingan untuk kepentingan perniagaan, pengguna dan ekonomi.
Beliau yakin penubuhan biro-biro pemiawaian perniagaan dan perlindungan pengguna dapat mencegah monopoli dan penetapan harga.
Dr Sulaiman berkata walaupun sektor swasta sentiasa menuntut perdagangan bebas, mereka juga mungkin mahu monopoli setelah mereka mendapat apa yang mereka idamkan. Itu sebabnya badan kawal selia adalah penting untuk mengekang monopoli, kartel dan penetapan harga.
“Di UK mereka mempunyai Undang-Undang Perdagangan Adil, yang kita tidak ada. Jadi masih wujud kartel dan anti persaingan di sini, ” tegas beliau.
Jika kita mempunyai penyeliaan seperti itu untuk ekonomi negara, kita akan mencapai status sebuah negara maju dengan peningkatan kepentingan ekonomi pasaran.
Namun ekonomi pasaran boleh gagal dan apabila keadaan demikian wujud kerajaan perlu campur tangan untuk memastikan keadilan dalam pasaran. Apabila kepentingan pengguna diambil kira, kawalan harga telah diperkenalkan di bawah Akta Kawalan Harga 1946.
Walaupun kawalan harga boleh membawa bantuan kepada pengguna dalam jangka pendek, peniaga boleh melakukan manipulasi bekalan barangan untuk menaikkan harga barang sebelum kawalan harga dikuatkuasakan. Jadi sekarang kawalan harga dikuatkuasakan sepanjang tahun dan boleh diramalkan seperti semasa musim perayaan dan waktu kekurangan bekalan.
Dr Sulaiman berkata keseimbangan perlu diwujudkan dan badan-badan kawal selia hanya perlu menyokong kecekapan.
PERKEM adalah acara tahunan yang dianjurkan oleh Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) UKM dengan negeri-negeri menjadi tuan rumah secara bergilir.
Persidangan itu menyediakan platform bagi para penyelidik, pembuat dasar dan mereka yang mengikuti pembangunan ekonomi Malaysia melalui pembentangan hasil penyelidikan yang memberi tumpuan kepada pelbagai isu berkaitan dengan pembangunan ekonomi, pertumbuhan dan suasana perniagaan.
Turut hadir pada acara pembukaan tersebut ialah Pengerusi PERKEM Dr Mohd Adib Ismail dan Pengerusi Pusat Pengajian Ekonomi Prof Madya Dr Tamat Sarmidi yang telah bertindak sebagai moderator.