Perpustakaan Perlu Terokai Media Sosial
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman
BANGI, 14 Oktober 2014 – Perpustakaan dan pusat sumber perlu meneroka dan menggalakan 13 juta pengguna media sosial berjinak untuk menggunakannya.
Pengarah Institut Visual Informatik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dato’ Dr Halimah Badioze Zaman berkata mereka perlu lebih mesra pengguna untuk menarik pelanggan supaya masyarakat lebih cergas menggunakan semua teknologi multimedia yang ada, termasuk pengkomputeran awan.
Ketika menyampaikan ucaptama pada Seminar Pengguna VTLS di sini hari ini, Prof Halimah berkata walaupun perpustakaan sudah lama bertapak tetapi kini mendapati sukar untuk menarik remaja yang membesar dalam era digital.
“Terdapat 40 laman rangkaian sosial yang paling popular di dunia. Teknologi ini tidak memerlukan pelanggan berada di perpustakaan. Apa yang boleh perpustakaan dan pusat maklumat lakukan untuk menangganinya?”
Prof Halimah, yang juga ketua kluster Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di UKM menggesa perpustakaan berusaha menarik pengguna media sosial yang semakin meningkat, terutama di kalangan golongan muda yang kurang minat membaca buku tercetak.
Beliau bimbang perpustakaan akan menjadi gundang di mana hanya buku disimpan tetapi tidak di hadiri manusia. Catatan menunjukkan pertanyaan rujukan kepada perpustakaan telah merosot.
Beliau bimbang Malaysia menghadapi cabaran besar kerana merosotnya penggunaan perpustakaan dan perlu bergerak pantas untuk mencapai status negara maju.
“Kesudahannya, orang-orang seperti saya yang perlu dilayani. Kami harus mempertimbangkan sama ada kita perlu mengintegrasikan teknologi,” katanya.
Beliau mengibaratkan perpustakaan sebagai ‘tempat kenangan’ di mana orang ramai boleh mengetahui tentang apa yang telah berlaku di masa lampau sementara dapat pula meneroka idea baru secara digital.
Prof Halimah menggesa pustakawan dan kurator menyediakan bahan yang boleh diakses oleh peranti mudah alih dan dapat menyampaikan cerita sambil memudahkan pembelajaran.
Seminar pengguna tersebut adalah yang ketujuh dalam siri tajaan VTLS Technologies Sdn Bhd, sebuah syarikat global dengan sebuah cawangan di Petaling Jaya yang menyediakan penyelesaian arkib dan pengkatalogan kepada pelbagai perpustakaan tempatan, termasuk Perpustakaan Tun Seri Lanang (PTSL) di UKM.
PTSL telah menggunakan perkhidmatan VTLS selama lebih 30 tahun dan membantu peralihan UKM kepada digital sepenuhnya pada tahun 1999.
Hadir ialah Timbalan Ketua Pustakawan PTSL Rosnah Suliman, Pengarah Urusan VTLST Technologies Sdn Bhd Gina Phan dan Naib Presiden Syarikat Innovative Interfaces Dr Vinod Chachra.
UKM dan VTLS telah melancarkan program “Big Brother” pada seminar itu di mana PTSL akan menjadi mentor kepada perpustakaan yang lebih kecil, terutama di kalangan universiti-universiti awam yang baru.
Acara tahun ini menyaksikan sesi Ketua Pustakawan dengan pelbagai aktiviti dan sesi peningkatan bermaklumat seperti Teknologi Terkini, Jejak Pelajaran, Tunjuk-Dan-Beritahu oleh Pelanggan dan Perisian Penting.