Prof Shamsul Amri, Jabatan Maklumat Kesihatan Terima Anugerah Inovasi UKM 2014
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman
BANGI, 15 Oktober 2014 – Jabatan Maklumat Kesihatan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin dan Prof Dr Mohamed Amin Embi adalah di antara 70 penerima Anugerah Inovasi UKM tahun ini.
Sebahagian besar antara mereka yang diberi penghormatan itu adalah kakitangan akademik dan pentadbiran, penyelidik juga pertubuhan, jabatan dan pusat-pusat tanggungjawab (PTJ). Anugerah itu telah disampaikan dalam satu majlis penyampaian khas di sini hari ini.
Jabatan Maklumat Kesihatan dipilih menerima anugerah Kualiti Naib Canselor kerana telah mencapai kecemerlangan prestasi dan operasinya. Ia bermula sebagai Unit Rekod Perubatan pada tahun 1982 di Hospital Kuala Lumpur yang diletak di bawah Fakulti Perubatan. Pada tahun 1997 unit itu telah di naik taraf menjadi jabatan Rekod Perubatan. Mulai 1 Januari 2010 ia digabungkan dengan Unit Case-Mix menjadi Jabatan Maklumat Kesihatan.
Pengarah serta pengasas Institut Kajian Etnik (KITA) Prof Shamsul Amri dikurniakan Anugerah Citra UKM sebagai individu yang mendapat liputan berimpak tinggi dalam media massa di dalam dan luar negara serta telah meningkatkan imej UKM.
Beliau yang pernah bercita-cita menjadi seorang penyanyi pop pada lewat tahun 1960an, kini menyerlah sebagai seorang tokoh akademik anthropologi dan sosiologi yang dianggap sebagai seorang “celebrity” kerana mempunyai ramai peminat disebabkan personalitinya yang ramah dan bersahaja. Ramai mengenali beliau sebagai ‘profesor berambut panjang dari UKM’.
Prof Mohamed Amin pula adalah Pengarah Pusat Pembangunan Akademik (PPA). Beliau adalah pemimpin, penggerak dan penyumbang terkenal dalam bidang e-pembelajaran dan pembangun e-kandungan di rantau ini. Prof Amin telah menerima lebih daripada 33 anugerah dan pingat kerana inovasi dan sumbangannya dalam bidang kepakarannya itu.
Turut menerima anugerah tahun ini ialah Pusat Antarabangsa Casemix dan Pengkodan Klinikal (ITCC), Prof Dr Wickneswari Ratnam, Foziah Hanom Ahmad dan Prof Dr Imran Ho Abdullah.
ITCC berjaya memajukan penyelesaian yang menggunakan teknologi inovatif untuk mempercepatkan industri penjagaan kesihatan.
Prof Wickneswari diberi penghormatan kerana melaksanakan penyelidikan berinovasi yang memberi impak besar dan pulangan komersil kepada bidang akademik serta kemajuan negara. Beliau menyelidik tanaman padi merah dan berjaya meningkatkan kualiti beras titisan padi moden merah itu yang telah diiktiraf sebagai variety padi baru.
Foziah ialah Ketua Penolong Pendaftar Kanan Jabatan Pentadbiran Am, Pusat Perubatan UKM. Beliau bangga dengan peranan besar PPUKM hingga lulus Audit Pensijilan 5S bagi kesemua 179 zon oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk enam tahun berturut-turut.
Prof Imran menerima anugerah kerana peranannya menjayakan program ’Mexico Mobility to Malaysia 2014’ di mana mahasiswa dari Mexico telah menyertai perkongsian mobiliti global UKM. Mobiliti ialah suatu program pendidikan yang membolehkan pelajar prasiswazah dan pascasiswazah mengalami kehidupan dan suasana sebuah negara lain.
Penerima anugerah yang lain termasuk Prof Dato’ Dr Mohd Yusof Hj Othman yang mendapat tempat pertama bagi buku yang dikarang beliau mengenai teknologi tenaga suria dan fotovolta-terma dan Prof Madya Dr Huda binti Abdullah yang menyerlah dalam bidang penyelidikan bahan nano dalam teknologi nano.