PTPTN Beri Peluang Peminjam Tegar Runding Bayaran Balik
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Abd Raai Osman
PUTRAJAYA, 9 Oktober 2014 – Seramai 170,000 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diberi peluang untuk berunding pembayaran balik pinjaman sebelum nama mereka disenaraikan dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS).
Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata PTPTN sudah amat bertimbang rasa dengan mereka itu tetapi malangnya ada yang mengambil kesempatan dengan tidak membuat sebarang pembayaran.
“Bila kita umumkan pelaksanaan langkah itu nanti, kita akan beri tempoh tiga bulan untuk peminjam berbincang dan seterusnya membuat bayaran sebelum nama mereka disenaraikan dalam CCRIS,” kata Idris.
“Kita mempunyai maklumat semua peminjam dan tahu ada diantara mereka yang bergaji lumayan tetapi tidak pernah membuat sebarang bayaran atau mahu menemui PTPTN untuk berbincang,” katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini selepas menyampaikan geran program Makmal Kerjasama Akademik-Perniagaan Malaysia (myLAB).
Beliau diminta mengulas laporan akhbar mengenai langkah PTPTN mahu bertindak lebih tegas dalam usaha mendapat kembali pinjaman yang telah dikeluarkannya dengan menyenaraikan nama peminjam tegar dalam CCRIS.
Menurut laporan itu, pada peringkat permulaan CCRIS akan dikenakan terhadap 170,000 peminjam tegar yang langsung tidak berusaha menjelaskan pinjaman berjumlah RM1.2 bilion sejak 1998 hingga 2010.
Idris menegaskan PTPTN sedia berunding untuk mencari jalan penyelesaian dan berbincang mengenai bayaran mengikut kemampuan peminjam sebelum sebarang tindakan tegas diambil.
Terdahulu, Idris menyampaikan anugerah pengiktirafan penyelidik cemerlang Institution Centre of Excellence (HICoe) kepada penyelidik-penyelidik tempatan yang khidmat mereka telah disenaraikan oleh Thomson-Reuters.